Minta rasuah RM5,000, dua anggota penguat kuasa ditahan SPRM di Sandakan
- nabalunews
- Oct 30, 2024
- 1 min read

30 Oktober 2024
KOTA KINABALU: Dua anggota agensi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta suapan RM5,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan dan saman ke atas seorang pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas, dalam sekatan jalan raya di Sandakan, semalam.
Menurut sumber, pengadu didapati tidak mempunyai lesen memandu dan memandu kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Selain daripada itu, dokumen pengenalan diri dan telefon bimbit milik pengadu turut dirampas.
“Pengadu telah menghubungi pihak SPRM dan tindakan susulan diambil terhadap kedua-dua anggota agensi penguat kuasa terbabit,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Comments