Misi ‘I Care Kadamaian’ Terus Santuni Pesakit Terlantar di Kampung Lobong-Lobong
- nabalunews
- Jul 28
- 1 min read

28 Julai 2026
KOTA BELUD: Misi kebajikan ‘I Care Kadamaian’ terus dilaksanakan menerusi lawatan ke Kampung Lobong-Lobong bagi menyantuni penduduk yang uzur dan memerlukan bantuan.
Lawatan itu diketuai Pengerusi Kelab Kebajikan Kadamaian, Shainim Epin bersama Pemaju Mukim Hadlee Panchai dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta kakitangan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.

Dalam lawatan tersebut, rombongan menziarahi seorang penduduk kampung yang terlantar akibat strok dan seorang lagi baru keluar dari hospital selepas menjalani pembedahan lutut berikutan jangkitan kuman.
Selain menyampaikan sumbangan kebajikan, rombongan turut memberikan kata-kata semangat kepada kedua-dua pesakit dan ahli keluarga mereka.
Program ‘I Care Kadamaian’ merupakan inisiatif berterusan yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, khususnya pesakit terlantar, warga emas serta golongan yang memerlukan perhatian.
Inisiatif itu dilaksanakan atas ilham ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah, sebagai usaha berterusan mendekati rakyat serta memastikan bantuan dan keprihatinan kerajaan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.















Comments