MITI SEDIAKAN KERTAS KERJA 'SAFE AT WORK', TANGANI COVID-19 DI TEMPAT KERJAMITI SEDIAKAN KERTAS KERJA 'SAFE AT WORK', TANGANI COVID-19 DI TEMPAT KERJA
top of page
  • nabalunews

MITI SEDIAKAN KERTAS KERJA 'SAFE AT WORK', TANGANI COVID-19 DI TEMPAT KERJA


Gambar fail

1 Mac 2021


PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membentangkan kertas kerja berkaitan 'safe at work' di kilang dan tempat kerja kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam masa terdekat.


Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kertas kerja itu antara lain bertujuan memperkasakan industri dan majikan supaya bersama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan pekerja mereka sekali gus membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19 di tempat kerja.



"Statistik sebelum ini menunjukkan sebahagian besar kes positif COVID-19 disumbangkan oleh pekerja yang menginap di tempat-tempat penginapan yang tidak kondusif, terlalu sesak dan sempit. Kluster ini berlaku di tempat kerja.


"Sekiranya dipersetujui, kita akan laksanakan pendekatan ini di semua kilang dan tempat kerja supaya pihak industri dan majikan juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan melindungi pekerja mereka," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin hari ini.


Beliau berkata apabila semua pekerja mereka dilindungi, pastinya tidak ada tindakan dikenakan terhadap industri dan majikan, termasuk penutupan operasi.


Berhubung pembukaan sektor pelancongan secara menyeluruh, Mohamed Azmin berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama MITI dan KKM sedang merangka beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan sektor itu dibuka sepenuhnya di seluruh negara, khususnya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.



"Keputusan kita adalah berdasarkan pengalaman kita pada tahun lepas. Kita telah kumpulkan semua data. Namun apa sahaja keputusan yang diambil, yang penting ialah pematuhan kepada SOP,” katanya.


Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata kerajaan akan membuka sektor pelancongan secara berperingkat berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh KKM.


Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata setakat ini beberapa sektor pelancongan seperti aktiviti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta mesyuarat bersemuka telahpun dibenarkan di seluruh negara termasuk negeri-negeri di bawah PKP.


Mengulas mengenai status PKP 2.0 yang dijadualkan berakhir 4 Mac ini, Ismail Sabri berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu petang ini.


Beliau berkata PKP berkemungkinan akan ditamatkan apabila imuniti kelompok dicapai melalui pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - Bernama


bottom of page