MONSTA, ASTRO SHAW LANCAR TRELER FILEM ANIMASI BAHARU, 'MECHAMATO'MONSTA, ASTRO SHAW LANCAR TRELER FILEM ANIMASI BAHARU, 'MECHAMATO'
top of page
  • nabalunews

MONSTA, ASTRO SHAW LANCAR TRELER FILEM ANIMASI BAHARU, 'MECHAMATO'


4 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Monsta dan Astro Shaw melangkah ke tahun 2021 dengan melancarkan treler rasmi filem animasi terbaru, “Mechamato” bersama watak adiwira terkini “Amato”.


Syarikat Monsta yang sebelum ini terkenal dengan animasi popular BoBoiBoy dalam satu kenyataan berkata Amato merupakan ayah kepada BoBoiBoy dan telah membuat kemunculan kameo pertamanya pada penghujung kredit filem ”BoBoiBoy Movie 2”.


Selain itu menurut syarikat itu, filem Mechamato adalah sebahagian daripada Power Sphera Universe dengan kronologi masa era praBoBoiBoy iaitu sewaktu Amato masih di alam persekolahan.


"Amato secara tidak langsungnya telah menjadi tuan kepada MechaBot - Power Sphera dengan Kuasa Mechanize yang boleh menukarkan objek biasa menjadi peralatan canggih. Tanpa disangka, MechaBot juga menjadi buruan Grakakus, alien sibernetik yang sanggup melakukan apa saja untuk memiliki MechaBot.


Apabila bandar Kota Hilir diancam bahaya, Amato dan MechaBot harus berganding tenaga dan menggunakan Kuasa Mechanize untuk menjadi adiwira yang bergelar Mechamato," kata Monsta.


Sementara itu, Monsta memaklumkan meskipun 2020 merupakan tahun yang mencabar buat industri perfileman, namun situasi berkenaan tidak menghalang syarikat itu kekal komited menghasilkan animasi terbaik untuk negara, sekali gus meneruskan momentum yang dikecapi ekoran kejayaan filem BoBoiBoy Movie 2.


Menurut Monsta, fasa produksi filem Mechamato kini hampir selesai dan bakal ditayangkan di seluruh negara apabila keadaan pasaran kembali pulih serta pawagam-pawagam dibuka sepenuhnya. Mechamato merupakan projek terbesar daripada Monsta bagi tahun ini, sekali gus menghasilkan animasi tersebut dalam bentuk filem dan siri, katanya.


"Yang lebih membanggakan, siri animasi Mechamato bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi saluran Cartoon Network yang akan disiarkan di lebih 20 buah negara di rantau Asia Pasifik termasuk Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Taiwan.


"Treler rasmi filem Mechamato ini telah mencetuskan fenomena di laman sosial apabila hashtag (tanda pagar) #MechamatoMovie menjadi trending di tangga pertama setengah jam selepas pelancaran dengan lebih 7 juta reach (capaian) di laman Twitter, diikuti dengan hashtag #Mechanizing2021 di tangga ketujuh," menurut Monsta.


Selain itu, Monsta memaklumkan pencarian ‘Mechamato’ dan ‘Ayah BoBoiBoy’ turut menjadi bualan netizen dengan hampir 3 bilion reach (capaian) dalam tempoh 12 jam treler ditayangkan.


"Fenomena ini turut dirasai negara jiran, Indonesia apabila ‘Ayah BoBoiBoy’ trending di Twitter sejak lima hari sebelum trailer treler dilancarkan, sementara di YouTube, trailer ini mencatatkan trending di tangga pertama bagi kategori filem di Malaysia dan tangga ketiga bagi kategori filem di Indonesia.

Treler ini telah mencecah lebih 1 juta tontonan di laman sosial media dalam masa dua hari selepas dilancarkan," katanya. Sehubungan itu Monsta dan Astro Shaw berharap pelancaran treler rasmi filem Mechamato itu dapat mengujakan para peminat dan penggemar filem tanah air.


"Nantikan kemunculan filem Mechamato di pawagam-pawagam seluruh Malaysia tidak lama lagi. Filem Mechamato menjanjikan pengalaman yang pastinya akan dapat menghiburkan seisi keluarga," kata Monsta. - Bernama


bottom of page