top of page
  • Wartawan Nabalu News

Monsun Barat Daya bermula jumaat ini, negara dijangka alami kurang hujan


14 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa, Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Jumaat ini akan menyebabkan kebanyakan kawasan di seluruh negara mengalami lebih banyak hari tanpa hujan hingga September.

 

Ketua Pengarah Jabatan MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata pada musim ini, angin biasanya bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

 

"Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan lebih rendah dalam tempoh berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Namun begitu, Muhammad Helmi menjelaskan hujan lebat berserta angin kencang dan petir akibat fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak, dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi.

 

Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

 

Selain itu, dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.

 

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk mengelak melakukan pembakaran terbuka dan menggalakkan mereka menggunakan air secara berhemah sepanjang musim berkenaan.

 

Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan aklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi jabatan, dan hotline MetMalaysia 1-300-22-1638.

Comments


bottom of page