MOTAC TERUSKAN KERJASAMA DENGAN PENGGIAT INDUSTRI
16 Mac 2021
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi perbincangan berterusan dengan penggiat industri akan meneruskan usaha mengemukakan pandangan dan cadangan dalam memastikan kelangsungan industri pelancongan negara.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata MOTAC sentiasa berkomunikasi dan bekerjasama rapat dengan penggiat industri pelancongan seni dan budaya dalam mendengar keluhan mereka dan mengemukakan cadangan yang dibincangkan.
“Dalam bulan Februari tahun ini saja, MOTAC telah mengadakan lima sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis membabitkan lebih 30 wakil industri, bagi mendapatkan maklum balas mengenai cabaran yang dihadapi dan cadangan yang diusulkan.
"Hasil pelbagai sesi libat urus ini, MOTAC telah meneliti setiap pandangan yang dikemukakan oleh pemain industri. MOTAC komited dalam mengambil tindakan terhadap perkara-perkara yang berada dalam bidang kuasanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai isu yang dibangkitkan pihak industri namun bukan di bawah bidang kuasa MOTAC seperti Program Subsidi Upah (PSU) dan pembukaan sempadan antarabangsa, Nancy berkata MOTAC telah membawa cadangan dan usul kepada kementerian berkaitan untuk tindakan.
Beliau berkata MOTAC turut membawa cadangan dalam libat urus ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan hasilnya adalah kebenaran aktiviti pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Nancy berkata MOTAC juga telah membentangkan impak dan strategi pemulihan industri pelancongan kepada Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan ia telah diterima oleh majlis berkenaan.
"Pada masa ini, tindakan yang diambil oleh MOTAC adalah juga berasaskan kepada keputusan itu," katanya.
Bagi sektor seni dan budaya pula, katanya MOTAC turut memanjangkan isu yang dibangkitkan penggiat sektor itu secara berterusan dan hasilnya, kerajaan baru-baru ini mengumumkan pembukaan semula premis seni, budaya dan warisan.
“Ini termasuk muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor pelancongan dan kebudayaan, katanya.
"Saya percaya kerjasama erat menerusi sesi libat urus yang kerap dan konsisten akan mencapai kesepakatan dalam membantu setiap penggiat dalam rantaian ekonomi pelancongan, seni dan budaya untuk kita sama-sama bangkit dan menyemarakkan semula industri pelancongan, seni dan budaya negara," katanya. - Bernama
Comments