top of page

MPWS diminta bantu perkasa pembangunan wanita di Sabah

  • Wartawan Nabalu News
  • Mar 13, 2023
  • 2 min read

13 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor meminta tujuh jawatankuasa yang telah dibentuk di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) untuk membantu Kerajaan memperkasakan pembangunan wanita di negeri ini, terutama di kawasan luar bandar.


Hajiji menyatakan bahawa tugas jawatankuasa tersebut termasuk memperhebatkan aktiviti yang dapat meningkatkan sosio-ekonomi wanita di seluruh negeri.


Beliau juga ingin MPWS memfokuskan usaha mereka untuk menambah sumber pendapatan wanita, terutama wanita yang terlibat sebagai peniaga atau usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).


“Banyak bantuan disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk membantu golongan peniaga di negara ini dan MPWS melalui jawatankuasa yang berkaitan boleh membantu menyebarluaskan segala bentuk bantuan tersebut kepada rakyat keseluruhannya” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan Pengerusi dan Ahli-Ahli MPWS Sesi 2023-2024 di Pejabat Ketua Menteri, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.


Tujuh jawatankuasa kecil di bawah MPWS yang bertujuan menggerakkan usaha dan memajukan hala tuju dalam menyejahterakan rakyat khasnya kaum wanita ialah Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita dan Media.


Ketua Menteri juga menginginkan MPWS bertindak sebagai badan pemikir dan pelaksana program serta dasar bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di negeri ini.


Ini bertujuan untuk memastikan wanita di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan.


“Kita mahu wanita lebih berdaya saing dan berpengetahuan supaya mereka terus maju serentak dengan perubahan dan pembangunan negara. Menuju ke arah itu, MPWS turut menggalas tanggungjawab berkenaan,”katanya.


Beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.83 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah pada tahun ini, untuk membiayai pelbagai program kepimpinan dan pembangunan wanita.


Dalam pada itu, beliau turut berharap seramai 12 ahli yang dilantik menerajui MPWS bagi sesi 2023- 2024 akan memberikan sumbangan idea, masa dan tenaga untuk melaksanakan sebaiknya agenda pembangunan wanita di Sabah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page