MTIB BERPERANAN TINGKATKAN INDUSTRI KAYU DI SABAH
- Wartawan Nabalu News
- Dec 10, 2020
- 2 min read

10 DIS 2020
KUALA LUMPUR: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) berperanan membangunkan industri perkayuan di Sabah.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antara fungsi yang dilaksanakan termasuklah mengadakan program-program latihan industri.
“MTIB melalui Wood Industry Skills Development Centre (VWISDEC) memberi latihan seperti seperti pemeringkatan kayu, teknologi kayu, pengecaman kayu, pemesinan kayu, pembuatan perabot dan lain-lain lagi.
“Antara program latihan yang mendapat permintaan tinggi adalah program pembangunan kemahiran teknologi epoxy dalam pembuatan perabot serta program pembangunan kemahiran Installer for Build in Cabinet,” katanya.
Mohd. Khairuddin berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pada Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Selasa.
Madius dalam soalannya bertanya tentang fungsi MTIB di Sabah terutama dalam meningkatkan lagi industri hiliran dan juga perladangan baharu seperti perladangan buluh.

Menurut Mohd. Khairuddin, MTIB Sabah turut melaksanakan program pembangunan kapasiti indusri perkayuan di negeri itu melalui penganjuran seminar dan bengkel.
“MTIB Sabah telah melatih seramai 40 orang pada tahun 2019 dan 40 lagi pada 2020. Para pelatih ini terdiri daripada orang perseorangan dan wakil industri kecil dan sederhana.
“Pada masa ini, pelatih-pelatih ini telah bekerja dengan sektor perkilangan berkaitan kayu dan membuka industri bengke kerja kayu secara kecil-kecilan,” jelasnya.
Beliau berkata, MTIB di Sabah juga berperanan membangunkan usahawan bumiputera melalui penubuhan Taman Industri Perabot Sabah (TIP) yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu Sabah (KKIP).
“Di sini terdapat 10 unit kilang yang diusahakan oleh usahawan perabot bumiputera yang mengeluarkan produk perabot seperti perabot panel, perabot taman, set sofa dan bilik tidur, perabot sekolah, kabinet dapur dan kayu kumai.
“Di samping itu MTIB juga membangunkan pusat promosi bagi meningkatkan pasaran produk bumiputera. Pusat Promosi Perabot (PPP) Alamesra ini dioperasikan oleh Syarikat Lmend Industries Sdn. Bhd.
“Produk perabot yang dikeluarkan oleh syarikat ini ialah kerusi dan meja sekolah dan perabot pejabat.
Khairuddin turut memaklumkan, MTIB juga menyediakan pogram pinjaman mesin kerja kayu kepada usahawan bumiputera di Sabah.
“Program ini dilaksanakan bagi eningkatkan tahap keupayaan pengeluaran Subject Matter Expert (SME) bumiputera dari segi kadar pengeluaran, tahap produktiviti dan kualiti produk yang dihasilkan.
“Ia juga bagi meningkatkan tahap daya saing SME Bumiputera dalam sektor pembuatan produk berasaskan kayu serta untuk memastikan SME Bumiputera dapat menembusi pasaran terbuka tanpa menghadapi kekangan dari segi proses pengeluaran,” katanya.
Comments