top of page
  • Wartawan Nabalu News

MUDA Sabah sokong PH Sabah bawa tuntutan 40% hasil persekutuan ke Mahkamah



3 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Sabah menyokong penuh tindakan Pakatan Harapan (PH) Sabah membawa tuntutan 40 peratus hasil persekutuan ke Mahkamah.

Pengerusi MUDA Sabah Amos Thien berkata, tuntutan itu wajar berlandaskan syarat khas yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Tiada Malaysia tanpa penyertaan Sabah dan Sarawak dan MA63 merupakan sebuah perjanjian yang dijunjung dan dihormati.


“Oleh itu, MUDA Sabah mengikuti dengan rapat tindakan undang-undang yang diambil oleh Persatuan Peguam-Peguam Sabah (SLS) dan Datuk Ewon Benedick selaku wakil kepada Pakatan Harapan berkenaan tuntutan 40 peratus hasil bersih tahunan Kerajaan Persekutuan untuk negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Amos berkata, MUDA Sabah percaya 40 peratus hasil bersih Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya diserahkan kepada Sabah mampu memacu pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“Hampir semua daerah di Sabah mengalami masalah air, elektrik, jalan raya, internet dan pelbagai lagi masalah pembangunan. Selain itu lapan daripada 10 daerah termiskin terletak di Sabah.

“Sehubungan itu, MUDA Sabah memberi sokongan atas tindakan undang-undang ini dan seterusnya menjadi pemerhati sepanjang proses ini berlangsung,” katanya.

Semua wakil rakyat daripada Pakatan Harapan Sabah hari ini memfailkan tindakan undang-undang memohon pengisytiharan 40 peratus hak Sabah.

bottom of page