top of page
Wartawan Nabalu News

MUDA tinggalkan Kerajaan Perpaduan



10 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan dan akan duduk di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.


Presiden MUDA, Syed Saddiq berkata, keputusan itu dibuat kerana beberapa sebab utama yang bertentangan dengan prinsip dan nilai parti.


Antara sebab-sebab itu ialah bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang, keputusan Peguam Negara yang melepaskan tanpa membebas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan, isu integriti dan budaya rasuah, serta ketiadaan reformasi.


"Kami berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan beberapa keputusan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini bertentangan dengan prinsip dan nilai tersebut," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.


Beliau turut memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul melalui surat rasmi untuk memberi pertimbangan di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.


Syed Saddiq menegaskan bahawa keputusan Peguam Negara yang melepaskan tanpa membebas Zahid Hamidi terhadap 47 kes pertuduhan tanpa penjelasan yang menyakinkan telah menimbulkan banyak tanda tanya kepada rakyat secara umum.


"Ini melanggar prinsip kerajaan Madani yang ingin melawan rasuah. MUDA percaya bahawa institusi perundangan negara ini telah dicemari dan kerajaan Perpaduan seolah-olah telah menormalisasikan budaya rasuah," katanya.


Tambah beliau, janji-janji reformasi yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya telah banyak diabaikan dengan memberi alasan kerajaan ini kerajaan baru.


Walaupun begitu, beliau berkata, MUDA akan tetap komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara progresif yang memerlukan undi dua pertiga dewan seperti agenda reformasi institusi walaupun MUDA berada di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Comentarios


bottom of page