Muhyiddin dan kabinetnya harus letak jawatan, Agong boleh lantik Kerajaan Interim - EwonMuhyiddin dan kabinetnya harus letak jawatan, Agong boleh lantik Kerajaan Interim - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Muhyiddin dan kabinetnya harus letak jawatan, Agong boleh lantik Kerajaan Interim - Ewon



30 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) Datuk Ewon Benedick mengulangi kenyataannya supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bersama dengan anggota kabinetnya.


Menurut beliau, Muhyiddin dan kabinetnya jelas membelakangi Yang di-Pertuan Agong dalam urustadbir pembatalan Ordinan Darurat, mengenepikan titah Agong supaya Ordinan tersebut dibentang, dibahas dan diputuskan di Parlimen serta melanggar Perlembagaan Persekutuan dan semangat prinsip Rukunegara.


“Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri petang semalam pula seolah-olah memberi gambaran bahawa Yang di-Pertuan Agong pula yang telah melakukan kesilapan. Ini memberi implikasi besar kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengiringi Adun Luyang Phoong Jin Zhe membuat laporan polis ke atas Muhyiddin di Balai Polis Karamunsing, hari ini.


Ewon turut menyatakan bahawa perlanggaran ke atas Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukunegara oleh kerajaan Perikatan Nasional akan memberi mesej yang salah kepada generasi muda di negara ini.


“Kita sebagai rakyat Malaysia diajar mengenai prinsip Rukunegara sejak di sekolah. Tetapi hari ini kita mendapati Perdana Menteri dan kabinetnya telah membelakangi Yang di-Pertuan Agong.


“Ini memberi mesej yang salah kepada generasi muda termasuk anak-anak yang masih di sekolah. Mereka boleh katakan, Perdana Menteri dan para menterinya telah derhaka kepada Agong,” katanya.



Pada 26 Julai yang lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan telah menaklumkan Parlimen bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh Kabinet berkuatkuasa pada 21 Julai.


Bagaimanapun, pertikaian timbul kerana Kerajaan PN tidak membuat apa-apa pengumuman berkenaan pembatalan tersebut, malah belum mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.


Istana Negara kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong berkenaan pengumuman pembatalan tersebut yang telah membelakangkan beliau serta pihak Kerajaan gagal melaksanakan titah apa yang telah dipersetujui semasa majlis menghadap sebelumnya.


Ketika ditanya mengenai penyelesaian kepada masalah yang negara hari ini, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyatakan pandangan beliau bahawa penyelesaiannya bermula dengan perletakan jawatan Muhyiddin dan anggota kabinetnya disusuli dengan pembentukan kerajaan interim.


“Muhyiddin dan anggota kabinet harus meletakkan jawatan di atas keingkaran mereka ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, perlanggaran Perlembagaan Persekutuan dan kegagalan menguruskan negara yang sedang menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan politik.


“Selepas mereka meletak jawatan, kita beri mandat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik kerajaan interim merangkumi wakil semua parti di Parlimen untuk satu tempoh khas khusus bagi menangani krisis kesihatan dan ekonomi.


“Apabila semuanya sudah reda, maka pilihanraya boleh diadakan dan rakyat boleh membuat pilihan kerajaan yang mereka mahu,” katanya.

bottom of page