top of page
  • Wartawan Nabalu News

MUSIM TENGKUJUH DIJANGKA BERMULA ESOK HINGGA MAC 2021



10 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini bermula esok (11 November) sehingga Mac tahun depan, dalam tempoh ini, empat hingga enam episode hujan lebat dijangka berlaku.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jailan Simon berkata, semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November hingga Disember ini, hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Manakala mulai Januari 2021, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Jailan berkata, fasa kedua Monsun Timur Laut mulai hujung Januari 2021 dan dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

“Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi jabatan.


bottom of page