- nabalunews
MyJPJ terus mendapat sambutan, rekod lebih RM28 Juta transaksi
15 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Aplikasi digital MyJPJ terus mendapat sambutan hangat dari pengguna, dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip lebih RM28 juta dalam tempoh sebulan selepas transaksi dalam talian diperkenalkan pada bulan Jun lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, menganggap kejayaan ini sebagai petanda positif bahawa rakyat semakin memilih kaedah digital untuk urusan berkaitan lesen dan kenderaan, menggantikan keperluan untuk berurusan secara fizikal di kaunter.
Jelas beliau, hasil kutipan ini adalah sembilan kali ganda lebih tinggi berbanding kutipan menerusi portal MySikap, yang hanya mencapai lebih RM3 juta dalam tempoh yang sama.
"Kita mendapat reaksi positif daripada pengguna aplikasi MyJPJ apabila mereka memilih melakukan transaksi secara dalam talian, ini adalah kejayaan baharu kepada JPJ.
"Ini juga membuktikan rakyat sudah nampak kemudahan yang disediakan JPJ dalam memudahkan urusan mereka secara digital dan mengurangkan bilangan orang ke kaunter atau pejabat POS untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM)," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini," katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini, lapor Bernama.
Menurut Aedy Fadly, sehingga semalam, lebih 12.7 juta pengguna telah memuat turun aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan pada Februari tahun lepas.
Aplikasi ini membolehkan pengguna melakukan pelbagai transaksi, termasuk semakan berkaitan pembaharuan dan pelesenan kenderaan serta pemandu, saman, bidaan nombor kenderaan melalui JPJeBid, serta laporan aduan kesalahan trafik.
Bagi meningkatkan lagi keberkesanan aplikasi ini, JPJ merancang untuk memperkenalkan MyJPJ versi kedua pada hujung tahun hadapan.
"Perancangan untuk tender baharu bagi MyJPJ versi kedua sudah siap tetapi perlu disemak oleh Jabatan Digital Negara. Versi kedua ini nanti dapat menyelesaikan banyak isu (aduan) berkaitan oleh pengguna aplikasi MyJPJ," katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa sistem aplikasi MyJPJ sentiasa dipantau 24 jam bagi mengatasi serangan siber, dengan kerjasama Jabatan Digital Negara.
Meskipun sistem JPJeBid menghadapi cubaan dua kali digodam baru-baru ini, JPJ berjaya menghalang serangan tersebut dan telah mempunyai pelan mitigasi untuk menangani isu-isu tersebut.
Comments