top of page

MyKiosk: KPKT tidak kompromi elemen rasuah, alu-alukan siasatan SPRM

  • nabalunews
  • Jul 3, 2025
  • 1 min read

3 Julai 2025


PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen rasuah atau penyelewengan dalam proses perolehan atau pelaksanaan inisiatif MyKiosk oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).


KPKT memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.


Menurutnya, kementerian juga telah secara sukarela menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif projek itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 Mei lalu.


“Tindakan ini mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Pada masa katanya, KPKT turut memperkukuh budaya integriti dalaman melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Sistem Lampu Isyarat dan penubuhan Unit Integriti (UI) di setiap PBT bagi memantau dan menilai prestasi integriti serta membasmi amalan rasuah di peringkat PBT.


Jelasnya, MyKiosk merupakan antara inisiatif di bawah KPKT yang bertujuan memperkasakan ekonomi peniaga kecil, dengan kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan Jabatan Kerajaan Tempatan adalah RM25,000 setiap unit.


“Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 PBT melalui sebut harga terbuka.


“Sebanyak 795 kontraktor MyKiosk telah dilantik oleh PBT masing-masing di seluruh negara dalam pembelian dan penempatan MyKiosk,” menurut kenyataan itu.


Inisiatif MyKiosk menjadi tumpuan selepas timbul beberapa dakwaan berkaitan proses pelaksanaannya oleh pelbagai pihak, antaranya kos pembinaan didakwa lebih tinggi dari harga pasaran sebenar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page