top of page
  • nabalunews

NADMA luluskan peruntukan RM14 juta untuk bantuan dan pengoperasian bencana di Sabah



2 Julai 2024


PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meluluskan permohonan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah untuk menggunakan RM14 juta baki peruntukan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 negeri itu untuk pemberian bantuan bencana dan pengurusan operasi bencana di luar musim MTL di Sabah.


Menurut kenyataan NADMA hari ini, jumlah itu termasuk pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terkesan serta sumbangan BWI Kematian sebanyak RM10,000 yang disumbangkan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana itu.


Mengikut kenyataan itu lagi, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA yang beroperasi 24 jam akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi bencana di Sabah.


"Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.


"Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)," kata kenyataan itu.


Mengikut statistik yang dikeluarkan sekretariat JPBN Sabah, jumlah mangsa banjir di Sabah setakat 4 petang tadi adalah seramai 481 orang daripada 147 keluarga, meningkat berbanding 464 orang daripada 140 keluarga setakat 8 pagi tadi yang berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terkesan iaitu Penampang, Putatan dan Tuaran.


Menurut NADMA kesiapsiagaan menghadapi banjir di daerah terjejas, diselaraskan oleh JPBD termasuk pengaktifan PPS, penyediaan dan keperluan bilik gerakan serta stor simpanan.


"JPBD juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperolehi sewajarnya.


"Buat masa ini keadaan di Sabah adalah terkawal dan koordinasi di antara agensi yang diselaraskan oleh Pegawai Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan dengan amat baik," kata kenyataan itu.


NADMA menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan mematuhi arahan sekiranya diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa.


Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh didapati menerusi pelbagai medium seperti media elektronik, media sosial, laman web rasmi serta aplikasi myCuaca dan MET Malaysia Hotline di talian 1-300-22-1638.

Comments


bottom of page