top of page

Najib fail petisyen pengampunan diraja, kekal Ahli Parlimen Pekan masa ini

Farah Salim


5 September 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini.


Beliau berkata, ini kerana Najib telah memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pada Jumaat lepas (2 Sept), iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan.


“Memandangkan petisyen pengampunan telah difailkan pada 2 September 2022, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kuat kuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai Ali Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Azhar berkata, beliau telah menerima serahan dokumen-dokumen salinan permohonan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, ke atas Najib bertarikh 1 September 2022.


“Salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh 1 September 2022 yang melampirkan permohonan pengampunan tersebut yang diaku-terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September 2022,” katanya.


Beliau turut menerima salinan Perintah Jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan bertarikh 23 Ogos lepas.


Azhar juga mengambil maklum bahawa rayuan jenayah Najib ditolak Mahkamah Persekutuan.


“Dalam hal ini, perintah sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib adalah disahkan,” katanya.


Katanya lagi, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau didenda sebanyak tidak kurang dari RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.


“Kuat kuasa Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada peruntukan Perkara 48(4) dan Perkara 53(2).


“Dalam hal ini, Perkara 48(4)(c) memperuntukkan bahawa sekiranya satu petisyen pengampunan difailkan oleh Ahli Parlimen yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan Ahli Parlimen berkenaan hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan (sekiranya petisyen ditolak),” katanya. 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page