top of page
  • Wartawan Nabalu News

Nancy Shukri: Kes gangguan seksual kanak-kanak di negara semakin membimbangkan


4 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SERDANG: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat di negara ini membimbangkan.


Beliau berkata, terdapat 35 kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak telah dilaporkan pada tahun lepas, tetapi angka itu tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana banyak lagi kes yang tidak disiasat.


Menurut Nancy, gangguan seksual boleh menyebabkan trauma dan kesan jangka panjang kepada kanak-kanak, terutamanya jika pelaku adalah individu terdekat seperti bapa atau abang sendiri.


"Kita tidak mahu kes sebegini menjadi normal (kerana) kalau dikacau dan diganggu dari kecil, mungkin mereka rasa itu adalah perbuatan biasa dalam tingkah laku manusia," katanya.


Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Selangor di sini hari ini.


Jelas beliau, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes gangguan seksual melibatkan orang dewasa juga meningkat dari 378 kes pada 2020 kepada 506 kes pada 2021.


Nancy menyeru mangsa gangguan seksual untuk tampil ke hadapan dan membuat laporan polis agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pelaku.


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia membantu mangsa dari segi khidmat kaunseling dan psikologi namun mangsa disarankan juga untuk membuat laporan polis.


Beliau juga memperkenalkan program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual yang bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai isu gangguan seksual.


"Program ini juga bertujuan memberi kesedaran agar budaya menormalisasikan gangguan seksual dihapuskan. Kita perlu mengubah sikap dan persepsi kita terhadap mangsa dan pelaku," katanya.




Comentarios


bottom of page