Nasib 10 KIR terjejas kebakaran di Kg Cempaka dibela
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 1 min read

29 Julai 2025
TAWAU: Nasib 10 keluarga terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Cempaka, Batu 4, Jalan Apas Sabtu lalu, terbela apabila mendapat perhatian pemimpin setempat yang tampil memberikan bantuan keperluan, hari ini.
Hadir menyampaikan sumbangan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui yang diwakili Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau Syed Hassan Syed Idrus.
Nizam yang juga ADUN Apas berkata, mereka menyampaikan bantuan awal berbentuk wang tunai kepada semua 10 Ketua Isi Rumah (KIR) terlibat.
Manakala katanya, bantuan pelbagai barangan keperluan disalurkan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Negeri dan bekalan makanan pula oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurutnya, pihaknya juga sudah meminta Jawatankuasa Bencana Daerah (JKBD) supaya mengemukakan permohonan dana ehsan kepada semua mangsa, termasuk sokongan untuk membina semula rumah mereka.
“Ini adalah untuk memastikan penduduk terjejas yang merupakan warga tempatan mendapat perhatian dalam memulihkan kehidupan masing-masing, selain bantuan susulan kebajikan,”katanya kepada media.
Beliau juga berharap bantuan awal yang diberikan itu dapat meringankan beban yang ditanggung semua keluarga terbabit dan mengharapkan mereka terus bersabar menghadapi dugaan serta yakin ada hikmah besar di sebalik kejadian menimpa mereka.
Dalam kejadian baru-baru ini, 47 mangsa daripada 10 keluarga tersebut hilang tempat tinggal apabila rumah kediaman musnah dalam kebakaran sekitar jam 9 malam.
10 rumah dilaporkan terjejas iaitu lima musnah sepenuhnya, tiga rosak 10 peratus dan dua lagi terpaksa dirobohkan bagi menghalang api daripada terus merebak.















Comments