top of page
  • Wartawan Nabalu News

Negara berada di landasan betul dalam kesiapsiagaan hadapi bencana


22 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia telah menunjukkan komitmen dan usaha yang serius dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana alam, kata pakar dalam bidang pengurusan bencana.


Timbalan Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia Hafiz Amirrol berkata, antara aspek yang diperbaiki adalah pengurusan maklumat dan komunikasi, kesedaran risiko dan keperluan bencana, serta pembiayaan risiko di semua peringkat kerajaan dan masyarakat.


"Persediaan dalam bentuk kefahaman tentang risiko itu, contohnya pihak berkenaan mempunyai kesedaran dan kefahaman mengenai keperluan dana iaitu untuk respons, pemulihan dan kesiapsiagaan.


"Di samping itu, penambahbaikan dapat dilihat di agensi teknikal terutamanya, setiap tindakan dibuat berkait dengan pengurusan risiko bencana sudah lebih risk-informed decision and planning (keputusan dan perancangan berlandaskan maklumat risiko)," katanya.


Tambah beliau, sistem amaran bencana juga perlu dipertingkatkan agar maklumat dapat disampaikan dengan cepat, menyeluruh dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU).


Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Khamarrul Azahari Razak pula berpendapat bahawa inisiatif kerajaan menumpukan sistem amaran awal mencerminkan komitmen kerajaan memenuhi agenda global, Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.


Beliau juga menyifatkan usaha kerajaan memperkasakan peranan komuniti sebagai langkah tepat kerana mereka boleh menjadi responder awal ketika bencana berlaku.


"Selain melatih komuniti dengan kemahiran dan pengetahuan berdepan bencana, kerajaan juga perlu meneliti keperluan lain seperti peralatan atau aset khusus yang boleh digunakan bagi memperkasa peranan mereka sebagai kumpulan awal memberi bantuan," katanya.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lepas mengumumkan RM150 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menambah baik keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.


Sejumlah RM50 juta diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana manakala peranan komuniti sebagai kumpulan awal ketika bencana turut diperkasa dengan peruntukan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti.

Comments


bottom of page