top of page

NEGARA KEHILANGAN ILMUAN ULUNG PEMERGIAN PROF DIRAJA UNGKU AZIZ

nabalunews

15 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Negara kehilangan ilmuwan ulung yang tidak terganti dengan pemergian tokoh akademik, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz yang telah pulang ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al fatihah," katanya menerusi catatan Facebook.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin menerusi catatan Facebook berkata Allahyarham Ungku Abdul Aziz banyak menyumbang jasa pada negara, terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Sesungguhnya negara kehilangan seorang tokoh yang telah banyak berjasa, khususnya dalam bidang pendidikan. Ucapan takziah saya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Pemergian yang tiada galang ganti. Al-Fatihah," katanya.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pula berkata segala pengorbanan dan sumbangan Allahyarham dalam bidang ekonomi dan pendidikan, tidak ada bandingannya.

"Semoga segala jasa dan budi Allahyarham dibalas setimpal oleh Allah SWT di hari akhirat kelak," katanya menerusi catatan Facebook. Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemergian cendekiawan ulung Allahyarham Ungku Abdul Aziz ke rahmatullah hari ini satu kehilangan besar kepada negara.

"Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang diredhai. Al-Fatihah," katanya juga menerusi catatan Facebook.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Allahyarham banyak menyumbang kepada gagasan penting dalam pelbagai lapangan, antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan peranan besar yang dimainkan di sebalik penubuhan Tabung Haji serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).


"Saya yakin sumbangan besar beliau kepada bangsa akan dikenang rakyat dan negara.


Pengorbanan dan tunjuk ajar sewaktu berada di Universiti Malaya juga akan sentiasa tersemat utuh dalam jiwa saya," katanya menerusi catatan Facebook.

Turut mengucapkan takziah dan mendoakan semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman adalah Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ungku Abdul Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia kira-kira 4 petang tadi. - Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page