top of page
Wartawan Nabalu News

NELAYAN DIPENJARA 7 TAHUN 6 BULAN KERANA DADAH



2 Jan 2021

Oleh Eviana Mazinal


KOTA KINABALU: Seorang nelayan berusia 37 tahun dipenjara tujuh tahun enam bulan berserta tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan berulang iaitu memasukkan dadah jenis syabu ke dalam tubuh sendiri.


Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahmunirddy Sagaa selepas tertuduh mengaku salah di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (2) (b) Akta yang sama.


Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu pada 10 Julai 2020, sekitar jam 8.10 pagi selepas ditahan kerana melakukan amuk.


Semasa rayuan, Shahmuniddy yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai enam adik-beradik dan ibu bapa yang sudah tua.


Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman dalam ucapan balas mendesak Mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan alasan Shahmuniddy berulang kali mengambil syabu.


Selepas menjalani hukuman, Mahkamah memerintahkan Shahmuniddy diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.


Dalam kes berlainan, seorang wanita dan dua anaknya didakwa memiliki 33.44 gram dadah jenis syabu.


Bagaimanapun wanita berusia 36 tahun dan anak-anaknya berusia 18 dan 16 tahun masing-masing tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, atas tuduhan itu.


Ketiga-tiga mereka dituduh memiliki dadah di sebuah rumah di Inanam pada 8 Jun 2020 sekitar jam 5.10 pagi.


Mereka didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga penjara seumur hidup, dan rotan sekurang-kurangnya 10 sebatan.


Mahkamah menetapkan 3 Feb ini sebutan semula untuk pengurusan kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada mereka bertiga.


Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman hadir untuk pendakwaan sementara peguam Dominic Chew mewakili ketiga-tiga tertuduh.

Comentários


bottom of page