NEOWELL PERLUKAN DARAH O POSITIF
25 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Neowell Van Houttan, 20, menghidap penyakit Talasemia memerlukan darah jenis'O positif R1R1 JKA'.
Ibunya Selly Onong, 41 merayu kepada orang ramai yang memiliki darah jenis 'O positif R1R1 JKA' tampil menderma untuk membantu anaknya.
Beliau berkata, pemindahan darah untuk anak sulungnya itu agak terganggu sejak pandemik Covid-19 mengakibatkan keadaan anaknya bertambah lemah.
Katanya lagi, pemindahan darah anaknya yang turut disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), menjadi lambat berikutan kesukaran mendapatkan bekalan darah jenis berkenaan.
"Anak saya melakukan pemindahan darah setiap bulan dan kali terakhir dia menjalani proses terbabit pada 19 Januari lalu.
"Mengikut perancangan, dia sepatutnya sudah menjalani pemindahan darah pada 5 Februari lalu tapi berlaku kelewatan ekoran kesukaran mendapatkan jenis darah yang sepadan dengan darah anak. Saya juga dimaklumkan memang berlaku kekurangan bekalan darah ketika ini.
"Kesukaran ini menyebabkan kami terpaksa menunggu bekalan darah dari Pusat Darah Negara (PDN) di Kuala Lumpur," katanya.
Selly berkata, anak lelakinya itu sebelum ini dirawat di Hospital Likas kini baru sahaja dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi meneruskan rawatan.
Neowell mula dikesan menghidap Talasemia major ketika berusia empat tahun dan sejak itu anaknya perlu menjalani proses pemindahan darah setiap bulan.
Selly berkata, sekiranya darah yang diterima tidak sesuai dengan Neowell, badannya akan mula bengkak dan mempunyai ruam.
"Neowell amat memerlukan darah yang sama. Saya tidak mahu hanya terus menunggu bekalan darah dari hospital.
"Sebagai seorang ibu, saya perlu berusaha merayu penderma darah untuk tampil agar proses pemindahan darah dapat dilakukan secepat mungkin," katanya.
Beliau merayu agar lebih ramai insan prihatin menderma darah ketika pandemik ini bagi membantu pesakit seperti anaknya untuk melakukan proses pemindahan darah.
Penderma yang ingin menderma darah kepada anaknya, boleh menderma darah atas nama Neowell Van Houttan di Hospital QEH 1 atau hubungi Selly (014-7357915).
Comments