NETIZEN KRITIK KERAJAAN GAGAL BERI MORATORIUM AUTOMATIK UNTUK SEMUA
- Wartawan Nabalu News
- Jun 6, 2021
- 3 min read

6 Jun 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ramai rakyat dan pemimpin di negara ini mengkritik Kerajaan Pakatan Nasional khususnya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana gagal memberikan moratorium secara automatik kepada rakyat yang berhadapan pelbagai masalah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut mereka, moratorium penuh sepatutnya diberikan kepada rakyat negara ini seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu semasa PKP 1.0.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya baru-baru ini mempersoalkan mengapa kerajaan tidak melaksanakan moratorium automatik kepada rakyat sedangkan negara kini berada dalam tempoh darurat.
Beliau berkata, di bawah Proklamasi Darurat, kerajaan telah menggantung Parlimen malah sudah meluluskan penggunaan wang Persekutuan tanpa kelulusan Parlimen.
"Menteri Kewangan (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) kata kerajaan tak kawal bank, jadi tak boleh laksanakan moratorium automatik kepada rakyat.
"Ini buat saya naik hairan. Negara hari ini telah diisytihar darurat kerana kononnya mahu melawan wabak Covid-19 dan melindungi rakyat. Maksudnya apa? Kerajaan boleh buat apa yang dirasakan perlu untuk rakyat pada waktu darurat termasuklah menyuruh bank membuat moratorium automatik kepada rakyat.
"Takkan itu pun tak boleh? Apa fungsi darurat kalau ini sahaja respons Menteri Kewangan?" katanya.
Syed Saddiq berkata, sewaktu kerajaan mengumumkan PKP 1.0, bank boleh sahaja melaksanakan moratorium penuh kepada rakyat secara automatik.
Namun katanya, pada PKP 3.0, bank sudah tidak boleh buat lagi secara penuh kerana kerajaan didakwa tidak memiliki bank-bank di negara ini.
"Hairan saya. Sekejap kerajaan berjaya buat moratorium penuh, sekejap kata tak boleh sebab tak kawal bank. Adakah rakyat itu hanya susah, lapar dan sakit pada PKP 1.0 dan bukan PKP 3.0 ini?
"Bank sebenarnya mampu melaksanakan moratorium penuh kepada rakyat. Waktu bank buat moratorium penuh pada PKP 1.0, bank masih catat untung besar. Kalau kita tengok, bank-bank di Malaysia mencatatkan keuntungan bersih pada suku pertama 2021,” katanya.
Julie Gindamin berkata, kerajaan sepatutnya memberikan moratorium secara automatik kepada semua rakyat termasuk golongan M40 seperti PKP 1.0.
“Saya menyokong penuh kenyataan Lim Guan Eng bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk memaksa institusi perbankan melaksanakan moratorium pinjaman bank kepada golongan berpendapatan sederhana M40.
“Golongan M40 yang tinggal di bandar mempunyai komitmen yang besar memandangkan kos tinggal di bandar adalah tinggi. Golongan ini juga sama-sama terkesan dengan PKP seperti golongan B40.
“Oleh itu adalah wajar golongan M40 juga diberi kemudahan moratorium secara automatik,” katanya.
Sementara itu Jembobby simon berpendapat, sepatutnya kerajaan memberikan moratorium tanpa faedah.
Katanya, cara itu lebih membantu rakyat dalam keadaan pandemik Covid-19 di mana seluruh rakyat negara ini terkesan terutamanya dari segi ekonomi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Bantuan PKP 3.0 baru-baru ini menyatakan bahawa semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.
Dalam laporan Sinar Harian kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menganggarkan lebih 80 peratus peminjam institusi perbankan di negara ini tidak memerlukan kemudahan moratorium pukal sebagaimana dituntut segelintir pihak ketika ini.
Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata, institusi perbankan tempatan juga sudah pun menyediakan bantuan bayaran balik bersasar kepada peminjam yang benar-benar memerlukan kelegaan moratorium daripada pihak bank.
Justeru, beliau menegaskan kerajaan tidak wajar dan bertanggungjawab bagi menanggung pelbagai risiko yang bakal dihadapi negara semata-mata demi memberi kemudahan moratorium pukal kepada setiap peminjam bank.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbar berkata, DAP menuntut kerajaan melaksanakan kembali pemberian moratorium automatik kepada peminjam B40 dan M40 sehingga akhir tahun, yakni sehingga selesainya Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK) bagi meredakan keresahan rakyat ekoran pelaksanaan PKP sejak 1 Jun lalu.
“Sekiranya institusi perbankan mampu menanggung kos moratorium pinjaman bank secara automatik kepada peminjam B40, ia sememangnya mampu berbuat demikian untuk peminjam M40.
“Ini ekoran keuntungan sihat industri perbankan yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM32.3 bilion pada tahun 2019 dan RM23 bilion pada 2020,” katanya.
Malah katanya, CIMB Group Holdings Bhd melaporkan keuntungan bersih suku pertama 2021 yang paling tinggi dalam sejarah sebanyak RM2.46 bilion berbanding dengan RM507.93 juta pada tahun sebelumnya.















Comments