Netizen rayu kerajaan perbaiki jalan berlumpur menuju SK Magandai
19 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Gambar menunjukkan jalan berlumpur menuju ke SK Magandai, Kota Marudu mendapat perhatian warga maya di Twitter yang rata-ratanya meluahkan rasa kecewa terhadap infrastruktur yang tidak dinaiktaraf itu.
Seorang pengguna, Warrence M yang memuat naik gambar itu di Twitter baru-baru ini berkata, gambar itu dikongsi oleh rakannya yang bertugas sebagai seorang guru di sekolah itu.
“Bagaimana teruknya infrastruktur Sabah? Sewaktu saya skrol Facebook saya hari ini, saya ternampak gambar rakan (seorang guru) yang dalam perjalanan pulang ke sekolahnya di SK Magandai,” ujarnya menerusi satu bebenang Twitter.
Beliau juga memuatnaik sebuah lagi gambar yang dikongsi oleh guru itu yang menunjukkan seorang lagi guru terjatuh dari motorsikal semasa perjalanan ke sekolah pedalaman itu.
“Ini (gambar) tahun lalu, tidak masuk dalam berita nasional tetapi tular di media sosial. Boleh anda bayangkan, hadapi (jalan) ini hanya untuk memastikan kanak-kanak di situ mendapat pendidikan yang baik? Sanggup kamu?” ciapnya.
Tambahnya: “mungkin kita tidak mempunyai kebolehan untuk memperbaiki jalan tersebut, tetapi kami akan menghantar barang-barang keperluan yang boleh membantu murid-murid di sana.”
Rata-rata pengguna Twitter yang kecewa melihat gambar itu merayu kepada kerajaan agar membantu memperbaiki jalan tersebut.
“Harap kerajaan usahakan lah jalan ini. Jangan hanya tahu main politik saja,” ciap seorang netizen.
“Sama juga, banyak lagi tempat di Sabah dan saya percaya di Sarawak pun mengalami nasib yang sama. Cuma baru-baru ini, orang hanya tahu setelah ianya tular melalui media sosial,” kata seorang lagi pengguna.
“Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan hari ini untuk rakyat yang telah lama menderita di sana selain daripada menjaga kepentingan diri mereka?” ciap seorang lagi netizen.
Comentários