top of page
Farah Salim

Netizen sifatkan pelantikan Duta Khas bertaraf menteri satu pembaziran



2 Disember 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Pelantikan tiga pemimpin politik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, China dan Asia Timur (Jepun, Korea Selatan dan Taiwan) satu pembaziran.


Duta Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri itu dilantik kerajaan sejak April 2020.


Ramai netizen mengkritik pelantikan itu dan menyifatkannya sebagai satu pembaziran. Mereka juga mempersoalkan sama ada penasihat atau duta-duta yang dilantik itu berfungsi atau sebaliknya.


Seorang pengguna Twitter berkata: “Nampak tak (tidak) kerja langsung, terima gaji buta dengan duit titik darah rakyat. Memalukan!”.


Tidak kurang juga yang mengeluarkan kata-kata sindiran: “Tiada perjalanan keluar negara bukan bermaksud tak (tidak) buat kerja dan makan gaji buta. Mungkin ketiga-tiga duta khas bertaraf menteri ini menggunakan perbelanjaan sendiri seperti membeli data internet sendiri untuk google maklumat atau isu-isu luar negara”.


“Lepas ni (ini) lantik pula Duta Khas Keluarga Malaysia, bertaraf menteri,” kata seorang pengguna Twitter.


Seorang lagi netizen mempersoalkan kenapa perlu ramai penasihat.


“Kenapa perlukan ramai penasihat? Adakah penasihat ini berfungsi sepenuhnya? Kita dah (sudah) ada ramai barisan menteri dan timbalan menteri, Duta Khas bertaraf menteri, ini ditambah pula dengan penasihat”.


Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) meminta Perdana Menteri menyatakan perbelanjaan emolumen, elaun serta perjalanan rasmi setiap Duta Khas bertaraf Menteri yang dilantik kerajaan sejak April 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad mengesahkan tiada perjalanan rasmi ke luar negara dibuat oleh tiga duta khas yang dilantik kerajaan.


Katanya, kesemua mereka turut menerima emolumen berjumlah RM27,227.20.


“Ketiga-tiga duta itu dilantik sejak April tahun lalu sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, Republik Rakyat China dan Duta Khas Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.


“Berdasarkan kontrak perkhidmatan yang telah dimuktamadkan emolumen yang diterima oleh kesemua duta khas ini adalah RM27,227.20.


“Mereka juga ditawarkan beberapa kemudahan lain seperti kemudahan telefon bimbit, kenderaan, pemandu dan pejabat.


“Setakat ini, tiada perjalanan rasmi ke luar negara dibuat oleh Duta Khas kepada YAB Perdana Menteri,” kata Abd.Latif menerusi jawapan lisan ke Dewan Rakyat, hari ini.


Mesyuarat Kabinet pertama pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung pada 1 September 2021 bersetuju untuk terus menyambung pelantikan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Asia Barat; Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke China dan Datuk Seri Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur.



Comments


bottom of page