NIOSH tegaskan keperluan reformasi keselamatan di tempat kerja
20 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Susulan insiden kebakaran yang mengakibatkan kecederaan serius kepada 10 pekerja di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menegaskan pentingnya reformasi keselamatan segera di tempat kerja.
Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen, menekankan bahawa kejadian pada 14 Ogos lalu, yang melibatkan sebuah kilang milik asing, memperlihatkan keperluan mendesak dalam aspek keselamatan di semua skctor industri, sekaligus memerlukan perhatian dan tindakan segera oleh semua pihak yang terlibat.
“Dilaporkan empat mangsa telah dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Bintulu, sementara tiga lagi di unit rawatan kebakaran dan tiga lagi di wad pembedahan.
“Insiden ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi keselamatan secara menyeluruh di semua industri, dan NIOSH komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan majikan, pekerja, dan pengawal selia bagi memacu budaya keselamatan di seluruh negara,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut, NIOSH turut merakamkan ucapan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat, dan menekankan bahawa keselamatan dan kesejahteraan pekerja perlu menjadi keutamaan tertinggi dalam setiap industri.
NIOSH juga menyeru agar semua syarikat tidak berpuas hati dengan tahap keselamatan yang ada, sebaliknya menegaskan bahawa perlindungan pekerja harus menjadi prinsip asas dalam setiap operasi, tanpa sebarang kompromi.
NIOSH akan terus memperjuangkan keselamatan di tempat kerja bagi mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang pada masa hadapan.
Comments