NORSIAH PATAH DILANTIK PENGARAH BAHARU LPKP SABAH
8 Julai 2021 KOTA KINABALU : Norsiah Patah dilantik sebagai Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang baharu berkuat kuasa 8 Jun lalu. Norsiah menerima pendidikan awal di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kuala Terengganu sebelum ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk pengajian Diploma Pengajian Perniagaan dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan. Anak jati Labuan dari suku kaum Kedayan ini memulakan kerjaya di beberapa syarikat swasta dalam sektor automobil, pembinaan, kewangan, latihan dan bekalan makanan bermasak ke sekolah-sekolah berasrama di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Beliau kemudiannya menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) pada 7 Julai 2003 dan ditempatkan di Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC). Sepanjang 18 tahun perkhidmatan di MOTAC, beliau ditempatkan di beberapa bahagian utama seperti Bahagian Pembangunan Industri, Bahagian Pelesenan Pelancongan, Bahagian Acara dan Bahagian Pembangunan Prasarana bermula dari jawatan Penolong Setiausaha Gred M41 sehinggalah ke jawatan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Gred M52 pada 5 Mac 2015. Selain berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perolehan, pentadbiran, penguatkuasaan, pengurusan acara serta pengurusan projek, beliau turut banyak terlibat dalam pengurusan dan penganjuran acara mega di peringkat kebangsaan. Antaranya adalah selaku Pengarah Program Citrawarna Malaysia, Flora Fest, Pesta Air Malaysia, Karnival Pelancongan Pelajar, Karnival Homestay Kebangsaan serta banyak lagi acara di pelbagai peringkat selain pernah mengetuai Kontinjen Malaysia – Thailand Goodwill Games serta promosi Homestay ke luar negara. Norsiah turut terlibat dalam penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2007 dan 2014. Selain itu, Norsiah mengetuai panel penarafan bintang bagi hotel dan spa serta pernah dilantik sebagai panel hakim Malaysia Tourism Award selama tiga penggal. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menyandang jawatan Malaysian Chairman dalam ISO TC 229 : Health And Services, iaitu jawatankuasa di bawah United Nation World Tourism Organisation (UNWTO) beribu pejabat di Madrid, Sepanyol yang berperanan memperkukuhkan standard dalam bidang perkhidmatan spa selain terlibat menganggotai beberapa jawatankuasa kerja di peringkat ASEAN selain sering mewakili Malaysia dalam mesyuarat berkala dan persidangan di peringkat ASEAN dan antarabangsa. Jawatan terakhir beliau di MOTAC sebelum dilantik sebagai Pengarah LPKP Sabah adalah Ketua Penolong Setiausaha Kanan selaku Ketua Unit Pengurusan Projek, Bahagian Pembangunan Prasarana. LPKP Sabah mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Norsiah Binti Patah atas perlantikan sebagai Pengarah LPKP Sabah.
Comments