top of page
nabalunews

Operasi agensi kerajaan tidak terjejas oleh insiden gangguan IT global – TPM Fadillah


20 Julai 2024


SHAH ALAM: Gangguan teknologi maklumat (IT) global yang berlaku sejak semalam tidak menjejaskan operasi agensi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau berkata setakat ini hanya sektor penerbangan sahaja yang terjejas oleh gangguan berkenaan namun menerusi langkah proaktif yang diambil, gangguan tersebut dapat diatasi dengan baik.


“Ini adalah satu cabaran bila kita menggunakan teknologi…kalau ada teknologi glitches (gangguan), kita akan berdepan dengan pelbagai masalah, jadi yang penting kita kena siap siaga kalau berlaku glitches, apakah langkah-langkah yang patut kita ambil untuk mengurangkannya,” kata Fadillah.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Penyelesaian Pembayaran Terbuka Kenderaan Elektrik JuiceUP, di sini, hari ini.


Semalam, media melaporkan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara terjejas akibat gangguan IT global.


Gangguan IT itu dikaitkan dengan syarikat teknologi keselamatan siber global Amerika Syarikat, Crowdstrike Inc, berpangkalan di Austin, Texas, yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.


Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata kerajaan sedang menggiatkan usaha untuk memperluaskan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara khususnya di luar bandar.


Beliau berkata langkah itu selari dengan dasar negara untuk meningkatkan penggunaan EV bagi memastikan sasaran sifar karbon menjelang 2050 dapat dicapai.

Comments


bottom of page