top of page
  • Wartawan Nabalu News

Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Beras Putih Tempatan dilanjutkan sehingga 17 Nov


4 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, langkah penguatkuasaan pasukan petugas menerusi Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang dilaksanakan sejak awal Oktober, dilanjutkan sehingga 17 November ini.


Beliau berkata pelanjutan tempoh itu bagi mempergiatkan operasi terutama di Sabah dan Sarawak susulan timbul isu penyeludupan beras putih import (BPI) ke negara jiran.


Jelas beliau, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Mingguan Pasukan Petugas OP BPT Bilangan ke-5 yang diadakan pada Khamis di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).


"Melalui pelanjutan tempoh ini, penguatkuasaan secara bersepadu akan terus dijalankan di pintu masuk sempadan Sabah dan Sarawak serta diperketatkan lagi melalui pasukan petugas ini bagi mengelakkan ketirisan subsidi dan pembaziran wang negara," katanya dalam kenyataan media semalam.


Chan yang juga Pengerusi Pasukan Petugas OP BPT berkata sehingga 1 Nov lepas, pihak penguat kuasa berkaitan telah menjalankan 196 pemeriksaan premis melibatkan 71 kilang, 113 pemborong dan 12 peruncit di Semenanjung Malaysia.


Beliau berkata sehingga kini tiga kes sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan sembilan kes di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).


"Kementerian juga ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan BPI, menyeludup keluar BPI atau menyembunyikan bekalan BPT," katanya.


Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat berkenaan isu bekalan beras, boleh menyalurkannya melalui talian penting aduan 03-8870 2393/2207.

Comentários


bottom of page