- Wartawan Nabalu News
Operasi bersepadu selamatkan pengemis, 'Pelauh' di Bandaraya KK akan diperluas
9 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Satu operasi bersepadu telah diadakan bagi menyelesaikan isu "Palauh" dan pengemis di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu pada Rabu.
Operasi bersepadu tersebut diketuai oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib dan disertai pegawai dan penguat kuasa dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta beberapa agensi lain.
Dalam operasi tersebut, seramai 31 orang, iaitu 10 wanita, tiga lelaki dewasa dan 18 kanak-kanak berjaya diselamatkan dan akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara (PPS).
Mengulas mengenai operasi tersebut, James berkata tujuan operasi itu diadakan adalah untuk menyelamat mereka di pusat bandar Kota Kinabalu dan untuk membersihkan kawasan DBKK daripada Palauh-Palauh dan pengemis di jalanan.
“Usaha seperti ini tidak akan berhenti di sini, malah akan dipergiatkan lagi pada masa akan datang. Operasi akan diteruskan sehingga kawasan bandar Kota Kinabalu bersih daripada Palauh dan pengemis,” katanya.
Beliau juga berbincang dengan MKN tentang bagaimana supaya dapat mengukuhkan lagi operasi sebegini. Dianggarkan jumlah mereka yang terlibat mungkin mencecah sehingga 300 orang.
“Usaha seumpama itu tidak terhad kepada Kota Kinabalu sahaja, malah ia akan diperluaskan ke seluruh Sabah termasuk kawasan Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.
“Ianya adalah usaha memerangi serta menyelamatkan mereka dipergiat di seluruh Sabah sehingga mereka tidak lagi berada di tepi-tepi jalan,” jelasnya.
Sementara itu, mereka yang diselamatkan, akan diajar kemahiran dan sebagainya, dan kemudian pihak berkuasa akan menentukan agensi mana yang boleh menerima mereka dan di mana mereka akan ditempatkan nanti.
“Buat masa ini, kita menempatkan mereka di pusat perlindungan terlebih dahulu dan mengajar:melatih mereka.
“Kapasiti PPS untuk tujuan ini setakat ini mampu menampung anggaran bilangan Palauh dan peminta sedekah.
“Jika ada keperluan, kami akan menambah lebih banyak ruang untuk menampung angka sebenar,” katanya.
Comments