top of page

Ops Tiris 3.0 : Lelaki ditahan, 8,177 kg minyak masak paket bersubsidi dirampas

  • nabalunews
  • Oct 7, 2024
  • 2 min read

7 Oktober 2024


KOTA KINABALU : Ops Tiris 3.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di sebuah rumah teres di Taman Hings, Jalan Kobusak, Kota Kinabalu.


Serbuan ini membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun serta rampasan 8,177 kilogram minyak masak paket bersubsidi dan 48 kg gula pasir kasar.


Pengarah KPDN Negeri Sabah Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan sekitar jam 7 malam, semalam, hasil maklumat awam.


Katanya sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Negeri Sabah menyerbu lokasi yang disyaki menjadi tempat penyimpanan dan penjualan minyak masak bersubsidi secara haram.


Penjual tersebut menggunakan platform media sosial untuk menawarkan minyak masak dalam kuantiti besar dengan harga yang mencurigakan.



"Hasil risikan mendapati kegiatan tersebut dijalankan di rumah teres yang dikenal pasti. Pegawai penguat kuasa kemudian melakukan penyamaran sebagai pembeli dan diarahkan penjual untuk berjumpa di lokasi yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.


"Sewaktu transaksi jual beli berlaku, serbuan dilakukan serta-merta, dan pemeriksaan mendapati stok minyak masak dan gula disimpan di ruang tamu dan kaki lima rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Georgie berkata sebanyak 8,177 kg minyak masak paket bersubsidi pelbagai jenama dan 48 kg gula pasir kasar ditemui dan disita.


"Kesemua barangan ini disita untuk siasatan lanjut kerana pemilik premis gagal mengemukakan dokumen sah atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan menyimpan barang-barang kawalan tersebut.


"Nilai sitaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM20,579.30," katanya.


Menurut Georgie, lelaki tempatan yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.


Akta ini memperuntukkan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama, dan denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya,


Manakala bagi syarikat yang terlibat, mereka boleh dikenakan denda hingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.


"KPDN Negeri Sabah menegaskan bahawa operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penyelewengan barang kawalan akan diteruskan bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan terhadap barangan bersubsidi yang penting ini," katanya.


Saluran aduan untuk orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan melanggar undang-undang berkaitan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui saluran berikut:


WhatsApp: 019-848 8000

Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my

Pusat Panggilan: 1-800-886-800

Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN

 
 
 

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page