Orang awam diingat berhati-hati panggilan telefon ‘scammer’
Wartawan Nabalu News

5 April 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Orang awam dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan sindiket ‘scammer’ yang semakin berleluasa.
Ini kerana taktik penipuan sindiket amat licik dengan menggunakan nama penguatkuasa seperti polis, kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, ramai penduduk tertipu kerana percaya dengan panggilan-panggilan palsu yang dibuat oleh sindiket ini.
Beliau berkata, orang ramai perlu faham bahawa penguat kuasa tidak membuat siasatan melalui panggilan telefon, sebaliknya meminta individu berkenaan hadir ke balai polis atau pejabat LHDN.
“Mereka ini membuat panggilan dengan membuat pelbagai dakwaan seperti ada cukai tertunggak, nama digunakan untuk pinjaman bank, akaun bank diguna untuk aktiviti dadah dan pengubahan wang haram.
“Jangan sesekali percaya dengan panggilan seperti ini sebaliknya tamatkan perbualan dan telefon ke balai berdekatan atau bank yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh meminta butiran akaun bank, nombor pin dan apa sahaja maklumat berkaitan perbankan daripada orang ramai melalui panggilan telefon atau teks mesej.
Comments