Orang ramai bantu perangi penyelewengan barang bersubsidi di Sabah, Sarawak
28 Julai 2024
KINABATANGAN : Satu gerakan untuk melibatkan penyertaan orang ramai secara besar-besaran dalam memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Sabah dan Sarawak melalui pemantauan dan penyaluran maklumat, sedang dirangka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keutamaan diberikan terhadap barang kawalan bersubsidi bahan api diesel dan RON95.
Katanya, selain memastikan subsidi dimanfaatkan oleh rakyat khususnya golongan sasar, gerakan itu dibuat susulan keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bermula di Semenanjung Malaysia.
“Keputusan pengecualian Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam penyasaran subsidi diesel pada masa ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor.
“Antara faktor utama pengecualian dibuat pada masa ini ialah kebergantungan tinggi pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan diesel disebabkan keperluan mengambil kira faktor geografi dan taraf jalan perhubungan darat dan air.
“Kedua, pertimbangan risiko kesan rantaian dengan mengambil kira kadar harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sememangnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.
“Ketiga, tahap kesediaan dan akses maklumat pengguna bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk pemprofilan penyasaran subsidi diesel bagi pengguna individu, agri komoditi dan sektor pengangkutan awam serta barangan,” katanya pada Majlis Perasmian Stesen PETRONAS Bukit Garam, di sini, hari ini.
Atas faktor itu, katanya kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelasnya, subsidi bahan api diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini mencecah RM3.6 bilion.
“Kerajaan tidak pernah menafikan isu ketirisan yang meliputi penyelewengan dan penyeludupan bahan api diesel juga berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Sehubungan itu, kerajaan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) untuk memperkasa strategi dan pendekatan bagi meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan,” katanya.
Di peringkat KPDN, Armizan berkata satu gerakan massa yang melibatkan orang ramai sedang dirangka untuk membantu penguatkuasaan dalam memerangi ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penyaluran maklumat.
Jelasnya, penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi bukan sahaja satu kesalahan di sisi undang-undang, malah penafian hak subsidi rakyat.
“Perbuatan memperdagangkan bantuan subsidi secara haram dan bertentangan dengan undang-undang adalah satu sabotaj ekonomi negara dan agenda kerajaan dalam penyaluran bantuan sosial kepada golongan yang memerlukan.
“KPDN menyeru semua pihak termasuk orang ramai terus menjadi mata telinga kerajaan dalam menyalurkan sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan agar aktiviti yang merugikan negara dan rakyat ini dapat dibanteras.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian,” katanya.
Beliau berkata, KPDN memberi jaminan akan bertindak segera terhadap setiap aduan yang disalurkan WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.
Comments