Wartawan Nabalu News
ORANG RAMAI DIALU-ALUKAN DERMA DARAH, DAFTAR VAKSIN COVID PADA 16 MEI, DI PEKAN INANAM
27 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Lapan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kawasan Inanam akan menganjurkan Kempen Derma Darah dan Jom Daftar Vaksin, pada 16 Mei depan, di Tugu Peringatan Pekan Inanam.
KRT Inanam itu ialah KRT Kionsom / Kobuni, KRT Minintod, KRT Pangasaan, KRT Bambangan, KRT Pomotodon, KRT Kironggu, KRT Nountun dan KRT Pekan Inanam.
Kempen ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Bandaraya Kota Kinabalu, Persatuan Thallaesamia Sabah, Persatuan Penderma Darah Sabah dan Tabung Darah, Hospital Queen Elizabeth II (HQE2).
Pengerusi Penganjur Datuk Wong Thien Fook berkata, ia bertujuan untuk membantu mengisi tabung darah Hospital Queen Elizabeth dan sebagai sumbangan bakti kepada masyarakat.
“Saya berharap orang ramai khususnya penduduk sekitar Kota Kinabalu datang beramai-ramai untuk menderma darah dan juga mendaftar sebagai penerima Vaksin Covid-19.
“Kempen Derma Darah akan bermula jam 9.00 pagi sehingga 3.00 petang. Kita juga menyediakan sumbangan berupa beras 5kg kepada 100 orang penderma pertama,” katanya, di sini, hari ini.
Wong berkata, kempen derma darah ini penting untuk membantu para pesakit yang memerlukan bekalan darah terutamanya mengatasi masalah kekurangan bekalan darah dalam kalangan pesakit talasemia.
“Pesakit talasemia memerlukan bekalan darah setiap bulan, sebab itu kita akan meneruskan kempen seumpama ini pada masa akan datang. KRT Inanam juga telah menganjurkan kempen seumpama ini pada Februari lalu untuk tujuan yang sama.
“Ini kerana, kita menerima makluman bahawa bekalan darah di hospital mengalami kekurangan sejak akhir-akhir ini dipercayai berikutan penularan pandemic Covid-19,” katanya.
Maklumat lanjut hubungi Osmond Asun (011-2523 9266) atau Felix Vun (016-822 2802).
Commentaires