- Nur Syafiqah Abdullah
Pakatan Harapan tolak tawaran Mahiaddin
14 Ogos 2021
Oleh Nur Shafiqa
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpandangan perutusan khas Tan Sri Mahiaddin Md Yassin semalam adalah pengakuan terbuka beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan.
Menurut kenyataan itu, ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang.
“Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia.
“Lebih dari itu, apabila Tan Sri Mahiaddin berkata "tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat," beliau dengan jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Oleh yang demikian, Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil pendirian untuk menolak keras tawaran tidak ikhlas Tan Sri Mahiaddin yang sepatutnya dibuat lebih awal.
“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.
“Pakatan Harapan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang. menderita akibat pandemik COVID-19. Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Hj. Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Comments