Panorama kemiskinan di SabahPanorama kemiskinan di Sabah
top of page
  • Writer's pictureDr Peter Naintin

Panorama kemiskinan di Sabah


Gambar hiasan

KENAPA WILAYAH SABAH MASIH MISKIN?


Kita semua sedia maklum bahawa pembentukan Malaysia sudah mencapai umur 58 tahun dan Wilayah Sabah cukup diberkati dengan pelbagai sumber bumi yang boleh membantu mempertingkatkan ekonomi dan pembangunannya. Namun, secara ironinya, sebahagian daripada rakyat kita masih berada di paras paling termiskin di negara ini. Adalah penting untuk kita bersama-sama mencari perspektif atau naratif baharu dalam usaha menyelesaikan isu kemiskinan di wilayah yang kita kasihi ini.


DI SEBALIK KEMISKINAN RAKYAT


Kepelbagaian agama dan etnik di wilayah Sabah telah mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat sejak sekian lama. Kita juga sedar bahawa wilayah Sabah terkenal dengan kekayaan budaya, keindahan landskap bumi, kelazatan makanan laut dan kemesraan penduduk tempatan. Namun begitu, tanpa disedari bahawa Wilayah Sabah telah menjadi juara sekali lagi dalam memegang rekod kemiskinan di negara ini dengan kadar peratusan 25.3 dan diikuti dengan Kelantan (21.2%) dan Sarawak (12.9%). Ini bermaksud satu perempat daripada penduduk di Wilayah Sabah, iaitu kira-kira sejuta orang, kini berada di ambang kemiskinan dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK) di bawah RM2,208.


Mari kita perhatikan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020 dimana, Wilayah Sabah telah mencatatkan pengurangan nilai KDNK sebanyak RM8.141 bilion berbanding dengan tahun lalu (RM85.647 billion).

Menurut data pada tahun lalu, kesemua negeri mencatatkan pertumbuhan negatif, di mana wilayah Sabah merekodkan kadar pengucupan sebanyak -9.5, manakala paras nasional pada -5.6%. Didapati bahawa Selangor, Wilayah Persekutuan KL, Johor, Pulau Pinang, Sarawak, dan Sabah merupakan penyumbang ekonomi negara sejumlah 72.1% kepada KDNK Malaysia pada tahun 2020. Ini menunjukkan bahawa wilayah Sabah merupakan salah satu penyumbang utama ekonomi negara kita.


Jika kita melihat kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi Wilayah Sabah adalah RM21,484 berbanding dengan KDNK Malaysia pada nilai RM43,378. Manakala, KDNK per kapita bagi Selangor dan Pulau Pinang masing-masing pada nilai RM51,966 dan RM54,718. Secaranya puratanya, Pendapatan Isi Rumah di Sabah berada pada paras RM5,215 berbanding dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan peringkat nasional masing-masing pada paras RM12,322 dan RM7,089 pada tahun lalu. Walau bagaimanapun, pendapatan penengah bagi Sabah hanyalah RM3,773 sahaja.


Berdasarkan kajian yang dijalankan dalam mengenalpasti kadar pendapatan mengikut daerah, data menunjukkan bahawa terdapat ketidakseimbangan pendapatan yang ketara sekali di seluruh Sabah. Pada masa yang sama, Dapatan Kajian PGK 2019 mencatatkan daerah Tongod mempunyai kadar kemiskinan 56.6%, diikuti oleh Pitas (53.6%), Kota Marudu (46.2%), Beluran (45%), dan Telupid (40.7%).


Didapati bahawa kedudukan geografi daerah-daerah ini berada di luar bandar dan sebahagian besar penduduknya bergantung kepada hasil pertanian dan perikanan dalam kehidupan harian mereka. Pada masa yang sama, keadaan kedaifan ini besar kemungkinan akan menyebabkan kebergantungan para penduduk kepada wakil rakyat dan kerajaan dalam membantu kelangsungan kehidupan mereka. Besar kemungkinan, perbandingan ini telah menyebabkan sebahagian daripada penduduk Sabah membuat keputusan untuk merantau ke Semenanjung Malaysia bagi mencari peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang lebih baik.


KAJIAN DAN DATA KEMISKINAN


Kajian dan data yang diperolehi daripada penduduk setempat amat penting untuk pihak kerajaan merancang, mencadang dan melaksanakan program-progam yang boleh membasmi kemiskinan. Terdapat maklumat penduduk miskin yang cukup lengkap disimpan di dalam portal e-Kasih. Namun pun begitu, masyarakat biasa tidak boleh mendapatkan maklumat tersebut. Pada masa yang sama, maklumat tersebut jarang dikemaskini oleh pihak yang bertanggungjawab. Jika kita perhatikan sendiri, tidak ramai yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan ini. Malahan, semakin ramai yang menjadi miskin sejak pandemik melanda. Terdapat penama yang berpendapat bahawa lebih baik mereka berada di dalam senarai e-Kasih, ini membolehkan mereka menerima segala bentuk bantuan daripada pihak kerajaan. Selain itu, terdapat juga penama yang tidak mahu keluar daripada senarai e-kasih dan bersedia untuk mewariskan status tersebut kepada anak mereka.


Di sinilah kita dapati terdapat pendaftaran e-Kasih yang seolah-olah berat sebelah. Di mana, sekiranya bendera parti politik mereka berlainan, besar kemungkinan mereka yang betul-betul miskin tidak akan didaftarkan ke dalam senarai e-kasih bagi mendapatkan bantuan daripada kerajaan. Di Malaysia, para pengkaji dan penganalisa banyak membuat kajian berkaitan dengan isu kemiskinan di negara ini dan berjaya menghasilkan set data yang banyak. Walau bagaimanapun, data-data tersebut tidak dikoordinasi dengan sebaik-baiknya oleh agensi kerajaan dan belum diselaraskan dengan baik.


KENAPA KEMISKINAN MASIH BERLAKU DI WILAYAH SABAH?


Adakah ini berpunca daripada kita semua? Kita yang memilih wakil rakyat tersebut dengan harapan perubahan yang lebih baik akan berlaku. Bolehkah kita menerima hakikat bahawa wakil rakyat tersebut merupakan refleksi diri kita sendiri? Atau ini disebabkan oleh budaya masyarakat miskin tersebut?


Sebenarnya, penduduk Sabah lebih bermurah hati dan tidak suka meminta-minta atau menunggu sesuatu. Semua mempunyai kemahuan untuk berusaha dan berjaya dalam kehidupan masing-masing. Tiada sesiapa pun yang berminat menjadi miskin. Kita semua bangun awal pagi dan tidur lewat malam untuk menyiapkan kerja harian demi mencari mata pencarian untuk keluarga. Namun, kadang-kadang pendapatan tersebut hanyalah cukup untuk sesuap nasi. Harga barang keperluan naik disebabkan pemintaan dan penawaran serta inflasi. Secara amnya, kenaikan harga barang tidak sama dengan kenaikan pendapatan penduduk di negara kita.


Namun, menjelang pilihan raya, kita dapati berduyun-duyun orang dari seberang akan melawat penduduk di luar bandar untuk menabur 'gula-gula'. Semua sedia maklum bahawa ini adalah bertujuan untuk membeli undi dan memanipulasikan para pengundi dengan tujuan untuk orang sebarang ini mendapatkan kuasa dan kedudukan yang mereka idam-idamkan. Pada masa yang sama, ramai yang terjerumus dalam agenda politik rasuah mereka. Ini menjadikan sebahagian rakyat Sabah menjadi lebih miskin daripada segi moral dan seterusnya melunturkan adat resam tempatan. Dikala kesempitan rakyat dalam menjalankan hidup, sebahagian daripada mereka sanggup dibeli dan dipukau dengan duit politik sebagai jalan penyelesaian sementara.


DEMOGRAFIK PENDUDUK


Adakah faktor kedudukan geografi sesuatu daerah tersebut menyebabkan rakyat kita miskin? Secara amnya, demografik penduduk di Wilayah Sabah tidak tertumpu di sesuatu kawasan dan bertaburan di sana sini. Besar kemungkinan, ini telah menyebabkan pihak kerajaan memutuskan dasar dan peruntukan pembangunan di luar bandar adalah berdasarkan kepada skala ekonomi, jumlah penduduk, jarak dari pusat bandar dan kepentingan sesuatu kawasan tersebut. Pada ketika ini, pembelajaran dan kedudukan sekolah juga lebih tertumpu di kawasan bandar. Pada masa yang sama, terdapat banyak sekolah daif yang memerlukan pembaikpulihan dan tenaga pengajar tambahan di luar bandar. Rata-rata rangkaian jalur lebar juga tertumpu di kawasan bandar dan pinggir bandar sahaja. Ini menyebabkan ramai murid sekolah di luar bandar tidak dapat mengikuti kelas secara talian dan kos pembelajaran mereka menjadi semakin tinggi.


STRUKTUR EKONOMI SABAH DAN SUMBER TENAGA BURUH


Sektor ekonomi di Sabah terdiri daripada Perkhidmatan (47.1%), Perlombongan & Pengkuarian (25.4%), Pertanian (16.5%), Pembuatan (7.8%), Pembinaan (2.8%), dan Duti Import (0.3%). Bagi menjadi sebuah wilayah yang membangun, Wilayah Sabah perlu mempertingkatkan aktivitinya dalam sektor pembuatan ke aras 30% daripada KDNK Sabah. Buat masa ini, sektor pembuatan di Sabah hanya pada nilai RM6 bilion sahaja. Jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Johor dan Selangor yang masing-masing mempunyai peratusan sektor pembuatan yang lebih tinggi iaitu RM41.6 bilion (45.0%), RM38.6 bilion (30.2%) dan RM95.3 billion (29.2%) daripada KDNK negeri mereka.


Diketahui umum bahawa Wilayah Sabah terkenal dengan aktiviti pengestrakan petroleum mentah dan gas asli yang dijalankan oleh syarikat gergasi dari dalam dan luar negara. Pada ketika ini, Sabah belum mempunyai Kilang Penapis dan Penyimpan Minyak Petroleum di Sabah. Besar kemungkinan projek pembangunan ini dalam proses pembinaan di Sipitang Oil & Gas Industrail Park (SOGIP). Untuk menarik lebih ramai pelabur asing di Sabah, pendekatan yang lebih fleksible diperlukan dengan memperkenalkan Dasar Penglibatan Pelanggan (Client Participation Policy) dalam menyediakan tapak dan fasiliti untuk mereka. Sebagai rekod, Petronas telah melabur sebanyak RM1.5 bilion untuk projek Sabah Ammonia and Urea dalam usaha memenuhi keperluan sektor pertanian, di mana Sabah menggunakan 30% daripada jumlah baja di negara ini.


Kita juga mengetahui bahawa sektor pertanian boleh membawa kelebihan dan kekayaan sekiranya aktiviti Penyelidikan & Pembangunan (R&D) dan penggunaan teknologi terkini dapat dipertingkatkan produktiviti dan hasil tanaman. Berdasarkan data terkini, kadar pengangguran di negeri Sabah sudah melebihi 15 peratus. Dasar Tenaga Buruh di Wilayah Sabah ini perlu membuka ruang lebih besar kepada pemuda-pemudi untuk berkecimpung dalam bidang pertanian. Sekiranya kadar gaji minimum dapat dinaikkan kepada kadar RM1,500 dengan latihan dan kemahiran tertentu, tentunya lebih ramai rakyat Sabah yang akan berminat dalam aktiviti pertanian ini. Selain daripada itu, pembukaan kuota 85% untuk pekerja tempatan dalam sektor pertanian adalah sesuatu yang positif untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda-mudi kita.


Sekiranya dilihat dari segi kitaran ekonomi di setiap daerah, aktiviti ekonomi tempatan tidak mempunyai rantaian bekalan yang cukup berbanding dengan tempat lain, dimana hasil pendapatan ekonomi tempatan berada pada tahap rendah. Ini menyebabkan keperluan infrastruktur di kawasan tersebut tidak menjadi keutamaan bagi pembangunan luar bandar di daerah miskin tersebut.


WARGA TEMPATAN YANG TIDAK BERDOKUMENTASI DAN PENDATANG TANPA IZIN


Kewujudan PTI ini telah memberi kesan kepada sosioekonomi dan pendapatan purata negeri. Ini kita boleh lihat dengan adanya permintaan sumber tenaga buruh yang lebih murah dalam sektor pertanian dan pembinaan di Sabah. Ini telah merubah keperluan dan permintaan tenaga buruh tempatan. Pada masa yang sama, isu orang tempatan yang tidak berdokumen juga merupakan satu masalah yang berpanjangan di Sabah. Mereka tidak mempunyai kerja yang tetap, tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan, tiada akses kepada pendidikan dan kos perubatan yang tinggi. Besar kemungkinan, golongan ini telah menyebabkan data kemiskinan di Sabah menjadi lebih tinggi. Bagi golongan PTI, mereka akan menduduki sesebuah kawasan, dan secara perlahan-lahan berjaya mendapatkan bekalan air dan elektrik secara percuma! Perkara ini telah membebankan kerajaan Sabah daripada segi NRW (non-revenue water) dan bekalan elektrik yang sering dicuri. Projek bekalan air bersih dan elektrik ke luar bandar juga boleh terbantut disebabkan ketirisan yang berlaku dan pengurusan yang tidak cekap.


MIGRASI KELUAR MASUK


Ramai penduduk tempatan yang bermigrasi keluar Sabah untuk mencari peluang pekerjaan di wilayah lain. Ini adalah disebabkan lambakan para graduan, pekerja mahir dan separa mahir yang tidak mendapat pekerjaan di wilayah Sabah. Kenapa ini berlaku? Besar kemungkinan, keadaan ini wujud kerana tidak banyak syarikat yang membuat pelaburan di Sabah. Sebahagian daripada faktor yang dilihat oleh para pelabur ialah kos pelaburan untuk membuat peniagaan di sesuatu kawasan. Ini termasuklah kos sumber buruh, bahan, elektrik, air dan pengangkutan. Sekiranya, Sabah ingin mengekalkan penduduk dan modal insannya, kerajaan sepatutnya memperkenalkan insentif khas kepada para pelabur untuk mewujudkan peluang pekerjaan di wilayah Sabah.


BUDAYA DAN KEAZAMAN POLITIK


Dasar pentadbiran di Sabah perlu ada ketelusan dan ditadbir urus dengan baik. Budaya parti politik yang memperalatkan rakyat demi kepentingan mereka boleh kita perhatikan setiap kali pilihanraya dijalankan. Mereka hanya turun padang pada masa pilihan raya untuk merayu undi terutamanya di luar bandar. Penyaluran maklumat berkenaan bantuan rakyat oleh Agensi Kerajaan tidak dapat dijalankan secara menyeluruh disebabkan faktor sumber manusia. Maklumat tidak sampai kepada sasaran dan hanya lebih tertumpu kepada sokongan terhadap bendera politik mereka di kampung-kampung.


Budaya Politik lama yang dibawa oleh parti dari seberang sering menggunakan politik agama dan bangsa. Tahap kemampuan para ahli politik memperkenalkan dasar baharu untuk rakyat Sabah juga tidak cukup memberansangkan. Sebenarnya, wilayah Sabah memerlukan satu dasar utama yang mampu menaikkan sosioekonomi rakyatnya. Sebahagian daripada ahli politik ini hanya mahu memegang kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri. Mereka tidak ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat. Kita selalu mendengar pemimpin politik yang menjadi kaya raya tetapi rakyat di kawasan mereka masih berada dalam kepompongan kemiskinan. Pada masa yang sama, kita juga sedari bahawa budaya membaca di kalangan rakyat amat rendah. Ini telah memberi ruang kepada organisasi tertentu membawa apa sahaja isu yang boleh dipolitikkan untuk mengelirukan rakyat.


CADANGAN KEPADA KERAJAAN UNTUK MEMGARISKAN DASAR MEMBASMI KEMISKINAN DAN PEMERKASAAN MODAL INSAN DI SABAH


Saya mencadangkan pihak kerajaan untuk membuat dasar yang lebih baik, inklusif dan tertumpu dalam membasmi kemiskinan dengan memperkasakan modal insan melalui Pendidikan, Kemahiran dan Perniagaan (PKP) di Sabah.


(A) DASAR MEMBASMI KEMISKINAN


(1) Pihak kerajaan perlu fokus kepada jalan penyelesaian berdasarkan data-data baharu yang diperoleh oleh pihak penyelidik daripada universiti, badan bukan kerajaan dan kerajaan tempatan. Maklumat dan data ini perlu diselaraskan dan dikemaskini secara berkala agar pengagihannya kepada agensi kerajaan berkaitan dapat dilaksana dan dipantau secara sistematik. Budaya perkongsian maklumat ini amat penting dalam menjayakan dasar membasmi kemiskinan.


(2) Pihak Kerajaan juga perlu membuat dasar membasmi kemiskinan yang lebih baik, inklusif dan tertumpu menyelesaikan masalah kemiskinan. Objektif utamanya ialah untuk rakyat berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan melalui Pendidikan, Kemahiran dan Perniagaan. Disamping itu, kerajaan perlu mewujudkan jawatankuasa khas yang mampu penyelarasan dan memantauan Program-program Pembasmian Kemiskinan secara kolektif.


(B) PEMBANGUNAN MODAL INSAN


(1) Pembudayaan dan kesedaran kepada rakyat perlu dibuat di setiap peringkat masyarakat. Kerajaan perlu memperkasa ekonomi rakyat dan bukannya memberikan subsidi semata-mata. Struktur dan pengagihan tenaga buruh di Sabah yang berumur bekerja di antara 15 sehingga 64 tahun perlu diperkasakan berasaskan ilmu pengetahuan.

(2) Untuk menjadi sebuah wilayah yang berdaya saing, kita bukan sahaja fokus kepada hasil sumber bumi, tapi pembangunan modal insan dalam industri utama kita. Kerajaan perlu membentuk satu jawatankuasa khas untuk melaksanakan Program Panduan Kerjaya (Career Guidance) secara menyeluruh bagi memperkenalkan industri utama di Sabah.


(3) Ini boleh diterap ke dalam sistem pembelajaran di setiap sekolah. Ini boleh dilakukan seawal tingkatan satu di sekolah menengah. Di mana, para pelajar berasa yakin dalam membuat keputusan yang wajar ketika memilih bidang di tingkatan 4. Jawatankuasa ini nanti akan bertanggungjawab dalam menyenaraikan dan melaksanakan keperluan tenaga mahir dan separa mahir yang diperlukan berdasarkan industri utama di Sabah.


(4) Ini boleh dijadikan sebahagian daripada Cadangan Pembangunan Modal Insan di Wilayah Sabah. Kita boleh membangun dan membentuk generasi muda-mudi dengan mengemudi mereka untuk menjadi pemimpin di masa hadapan. Ini akan menarik lebih ramai muda-mudi kita untuk menjadi tenaga mahir dan separa mahir dalam industri pertanian, pembuatan dan pelancongan.


(5) Ini juga boleh dilakukan dengan memperkenalkan teknologi industri 4.0 kepada tenaga pekerja tempatan. Dengan harapan, menjelang tahun 2030, seramai 100,000 generasi muda-mudi akan menjadi tenaga mahir dan separa mahir dalam bidang kejuruteraan, perubatan, kewangan, perniagaan, perundangan, pendidikan, pertanian dan usahawan di Sabah.


(6) Pada masa yang sama, kerajaan dan pihak swasta perlu bekerjasama dalam membina lebih banyak institut pengajian teknikal yang berkaitan dan kedudukannya seharusnya berdekatan dengan sumber hasil bumi tersebut. Ini membolehkan penduduk setempat dapat mengambil peluang dalam kemahiran tertentu dan pekerjaan.


(7) Cadangan Satu Graduan, Satu Keluarga dapat mengajak keluarga daif agar keluar daripada kepompong kemiskinan. IPTA dan IPTS merupakan sebuah gedung pendidikan untuk kita mendapat ilmu berfikir secara kritis dan membentuk pemikiran yang membina. Kaum wanita juga perlu terlibat dalam pertumbuhan ekonomi tempatan.


(8) Cadangan Satu Keluarga, Satu Perniagaan boleh diperkenalkan kepada golongan yang berminat dalam aktiviti perniagaan. Oleh itu, pelaksanaan projek kerajaan perlukan memahami keperluan tempatan dan bukannya untuk kepentingan sendiri dan politik mereka sendiri.


Terakhir sekali, perlu dinyatakan bahawa Semangat Keluarga Malaysia dan Kemakmuran Bersama hanya akan dapat dicapai sekiranya pihak kerajaan mampu memberikan peluang berdasarkan Keadilan, Kesaksamaan dan Kesamarataan seperti yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


Dr Peter Jr Naintin

Timbalan Setiausaha Agung

United Progressive Kinabalu Organisation


bottom of page