Parlimen bubar, PRU15 dalam tempoh 60 hari: Ismail Sabri

10 Oktober 2022
Oleh Farah Salim
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumumkan dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada pukul 3 petang tadi menerusi saluran televisyen dan medial sosial selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.
“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.
Ismail Sabri berkata: “pembubaran itu dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap”.
“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon, hari mengundi serta urusan lain.
Comments