top of page

Parlimen sedang kaji potong gaji MP ponteng'

  • nabalunews
  • Aug 13, 2024
  • 2 min read


13 Ogos 2024


KUALA TERENGGANU: Parlimen sedang meneliti akta berkaitan untuk membuat ketetapan supaya Ahli Parlimen yang ponteng sidang Dewan Rakyat akan dikenakan tindakan termasuk potong gaji.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata beliau tiada kuasa memotong gaji Ahli Parlimen yang ponteng sidang.


"Kita tidak boleh membuat keputusan secara semberono sebaliknya akan dibawa ke jawatankuasa dewan yang diwakili Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.


"Kita hanya akan membuat keputusan memotong gaji Ahli Parlimen (yang) ponteng jika dipersetujui oleh jawatankuasa dewan," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.


Johari ditemui media selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia 2024, semalam.


Turut hadir Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah dan timbalannya, Khazan Che Mat.


Mengulas lanjut, Johari menegaskan pemotongan gaji Ahli Parlimen yang ponteng pada persidangan bukan keputusannya sebaliknya hanya menyampaikan keputusan dibuat jawatankuasa dewan.


Ahli Parlimen perlu sedar bahawa gaji mereka dibayar oleh rakyat dan perlu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab apabila memenangi kerusi pada pilihan raya.


"Ketika kempen pilihan raya, mereka sanggup bergasak dan berperang bagi memenangi kerusi Parlimen dengan alasan untuk berkhidmat kepada rakyat.


"Apabila diberi mandat, datanglah ke Parlimen serta menyampaikan hasrat pengundi, janganlah menghilangkan diri dan hanya muncul pada saat akhir Parlimen dibubarkan.


"Jika tidak boleh hadir mengikuti persidangan lima jam, hadirlah empat atau tiga jam dan bukannya terus menghilangkan diri.


"Kita faham ada menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir persidangan tetapi mereka mempunyai tugas lain sama seperti Ahli Parlimen pembangkang yang terpaksa mempengerusikan mesyuarat anak syarikat kerajaan (GLC)," katanya.


Mengulas lanjut, Johari berkata, semua ahli Parlimen selain bergaji tetap, mereka juga memperoleh elaun kehadiran, elaun penginapan serta pelbagai kemudahan lain.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page