top of page
Wartawan Nabalu News

PAS TIDAK SEHARUSNYA TIMBULKAN ISU TROLI – UPKO KENINGAU


Nancy (kiri) dan Kennedy (kanan).

11 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah tidak seharusnya menimbulkan isu troli di pasar raya kerana ia boleh mengundang ketidakharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.


Timbalan Ketua Bahagian UPKO Keningau Kennedy John berkata, isu mengasingkan troli di pasar raya juga tidak pernah timbul sebelum ini di Keningau.


“Perkara ini telahpun diselesaikan oleh pihak pengurusan Bataras Keningau dengan baik.


“Rakyat Sabah hidup dengan penuh harmoni dan saling hormat-menghormati sejak sekian lama walau kita terdiri dari pelbagai kaum dan agama.


“Kesatuan ini harus kita pelihara. Kita tidak perlu golongan ‘pelampau agama’ untuk mengajar kita hidup bermasyarakat,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Baru-baru ini, PAS menggesa supaya semua pasar raya atau kedai perlu sensitif dengan keperluan serta sentimen pelbagai agama di Sabah.


Setiausaha PAS Sabah Dr.Aliakbar Gulasan berkata, ia berikutan perkara yang berlaku di sebuah pasar raya Keningau yang menjual daging babi tanpa membuat pengasingan troli bagi kegunaan pengguna.


“Saya berpandangan ini merupakan satu penghinaan terhadap sensitiviti umat Islam, pasar raya sepatutnya memahami hal ehwal agama lain atau perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama terlebih dahulu,” katanya.


Sementara itu, Setiausaha Wanita UPKO P180 Keningau Nancy Lau berkata, kenyataan PAS Sabah itu menimbulkan perasaan tidak harmoni di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama serta menguris hati rakyat Sabah.


“PAS Sabah tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu kerana rakyat Sabah khususnya di Keningau hidup harmoni sejak sekian lama walau berlainan agama.


“Tidak pernah timbul isu ‘troli’ kerana kami menghormati antara satu sama lain … rakyat Sabah mempunyai toleransi dan sikap hormat menghormati yang amat tinggi antara satu sama lain,” katanya.


Beliau mengambil contoh, dalam keluarganya ada yang menganut agama Islam, Kristian dan Buddha tetapi tidak pernah timbul masalah.


“Dalam rumah saya ada juga Muslim tapi kami hidup aman damai dan harmoni, kami tidak mengasingkan meja makan, tempat tidur atau barang-barang makan serta semua barang-barang di rumah digunakan bersama.


“Dua anak saya, ipar dan nenek saya juga beragama Islam tapi tidak pernah timbul ‘mengasingkan’ barang-barang di rumah. Kami masih boleh hidup aman damai walau berlainan agama,” katanya.


Nancy bimbang kenyataan PAS Sabah seumpama itu akan mewujudkan kumpulan pelampau agama di negeri ini.

Kommentare


bottom of page