top of page
  • Wartawan Nabalu News

PASAR SIANG, PASAR MALAM, TAMU DAERAH KENINGAU DITUTUP MULAI ESOK (21 MAC)



20 Mac 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan agar Pasar Siang, Pasar Malam dan tamu-tamu di seluruh daerah Keningau tidak dibenarkan beroperasi berkuatkuasa 21 Mac (esok) berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di daerah itu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, hari ini daerah Keningau mencatatkan kes tertinggi sebanyak 71 kes baharu berbanding hanya lapan kes baharu kelmarin (19 Mac).


Beliau berkata secara keseluruhannya, Sabah mencatatkan sebanyak 102 kes positif baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,209 kes dan satu kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu.


"Daerah kedua yang mencatatkan kes tertinggi ialah Tawau sebanyak 10 kes, diikuti Kota Kinabalu dan Putatan masing-masing lima kes, Kota Belud (tiga kes), Lahad Datu dan Telupid masing-masing dua kes, Sandakan, Sipitang, Penampang dan Tuaran masing-masing satu kes.


"Daerah yang mencatatkan sifar kes baharu ialah Kalabakan, Tambunan, Nabawan, Tenom, Kudat, Kinabatangan, Kota Marudu, Papar, Beaufort, Beluran, Ranau, Pitas, Kuala Penyu, Semporna dan Tongod," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daripada 102 kes positif Covid-19, sebanyak 43 kes berpunca dari saringan kontak rapat, 10 kes saringan bergejala, satu kes saringan kluster sedia ada, 42 kes saringan bersasar serta enam kes dari lain-lain kategori.


Katanya, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital ialah 41 menjadikan jumlah kumulatif 53,313 orang.


"Seramai 349 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 139 orang di hospital dan 210 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.


"Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 18 orang dan lima orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Comments


bottom of page