Pasaraya, kompleks membeli-belah boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam mulai Jumaat ini
29 Sept 2021
Oleh Ilona Andrew
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membenarkan beberapa sektor perniagaan untuk beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam, mulai Jumaat ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata antara sektor tersebut adalah kedai runcit, kedai serbaneka, pasaraya mini dan pasaraya (hypermarket).
“Kompleks membeli-belah dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam bagi sub sektor yang telah dibenarkan beroperasi.
“Pengusaha restoran termasuk di hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk juga dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.
Manakala, stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 5 pagi hingga 12 tengah malam.
Sementara itu, Masidi berkata, majikan boleh memohon pengecualian syarat lengkap memasuki premis perniagaan bagi individu lengkap vaksin Astrazeneca.
“Ketetapan bahawa individu yang menerima dos pertama vaksin AstraZeneca boleh membuat permohonan pengecualian syarat lengkap vaksinasi bagi memasuki premis (untuk bekerja dan sebagainya), majikan boleh memohon pengecualian sementara kepada Pihak Berkuasa Tempatan dengan menyenaraikan nama kakitangan mereka yang terlibat, tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua.”
Comments