top of page

PASTIKAN AGENDA PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DITERUSKAN: EWON

  • Wartawan Nabalu News
  • Nov 16, 2020
  • 2 min read

Ewon Benedick

16 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan beberapa agenda pembangunan luar bandar yang beliau perkenalkan sebelum ini.

Antaranya, Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif dan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Sistem Aplikasi Profail Kampung Negeri Sabah.

“Agenda-agenda tersebut sebenarnya inisiatif-inisiatif baharu yang diperkenalkan semasa Kadamaian berada di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.

“Kini kita berkongsi aspirasi memastikan agenda tersebut dapat diteruskan bagi melengkapkan pelbagai usaha lain mensejahterakan komuniti luar bandar di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Mengenai Program Bantuan Rumah Bina Baru PPRT, Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, ia adalah keperluan sebenar berbanding program baikpulih.

“Memang program baikpulih masih relevan bergantung kepada struktur bangunan, tetapi jika dilihat dari segi prestasi agensi pelaksana seperti Giatmara dengan sasaran penerima bantuan dan hasil kerja yang dilaksanakan, ia amat mendukacitakan apabila hasil baikpulih itu hanya menukar cat warna, mengganti atap dan beberapa kelengkapan lain.

“Ianya tidak mapan, tidak memberi manfaat jangka masa panjang. Itu sebabnya saya konsisten mendesak supaya program bina baharu rumah PPRT lebih banyak jumlah rumahnya daripada program baik pulih rumah PPRT,” katanya.

Sebab itu katanya, KPLB Sabah semasa kerajaan terdahulu telah memperkenalkan Rumah Sejahtera Rakyat Sabah, iaitu program bantuan bina baharu rumah kepada rakyat Sabah yang amat memerlukan.

“Ia dilaksanakan dengan dasar Kerajaan Negeri sendiri dan dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Saya berharap Kementerian tidak melupakan rakyat Kadamaian yang amat memerlukan rumah ini,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page