Pasukan Hanoi Juara Piala UPKO Kampung Piasau 4 Penjuru 2025
- nabalunews
- Apr 3
- 2 min read

3 April 2025
KOTA BELUD: Pasukan Hanoi muncul juara dalam kejohanan Piala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kampung Piasau 4 Penjuru yang berlangsung dari 29 Mac hingga 1 April 2025 di Padang Dudan Kampung Piasau.
Majlis penutupan kejohanan ini disempurnakan oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud merangkap Pengerusi Penganjur, Jolyhame Saran, yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Pasukan Hanoi berjaya membawa pulang wang tunai RM500, selain menerima hadiah tambahan berupa mi segera dan minuman.

Naib juara kejohanan ini, pasukan Persija, menerima wang tunai RM300 berserta mi segera dan minuman. Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Ulsan yang membawa pulang RM200 serta hadiah iringan yang sama. Pasukan Buriram yang menduduki tempat keempat turut menerima RM100 berserta mi segera dan minuman.
Menurut Jolyhame, kejohanan ini merupakan sebahagian daripada Program Jelajah Pemuda UPKO Kota Belud, yang menjadi platform penting dalam mengisi aktiviti belia untuk tahun 2025. Kejohanan ini juga telah mencapai tahun kelima penganjurannya, sekaligus menunjukkan komitmen berterusan dalam memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan belia.
Dalam ucapannya, Jolyhame menyeru para belia agar terus mengambil bahagian dalam aktiviti sukan bukan sahaja untuk kesihatan tetapi juga sebagai medan pembelajaran kepimpinan. Beliau menekankan kepentingan ikatan silaturahim yang dipupuk melalui sukan, yang boleh membentuk masyarakat yang lebih bersatu dan berdaya saing.

Bagi memeriahkan acara, Jolyhame sendiri turut serta dalam perlawanan Sumbangsih antara Piasau United dan Piasau Perantau. Pertandingan ini menyaksikan kemenangan berpihak kepada Piasau United dalam aksi yang penuh sengit dan menghiburkan.
Jolyhame turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UPKO Malaysia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, atas sokongan yang diberikan kepada program Pemuda UPKO. Beliau juga berterima kasih kepada semua peserta dan pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini, yang telah menjadi acara tahunan yang dinantikan ramai.
"Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak muda untuk mengasah bakat mereka dalam sukan bola sepak, tetapi juga menyatukan masyarakat setempat melalui semangat kesukanan dan kerjasama erat. Kejohanan ini membuktikan bahawa sukan mampu menjadi alat penting dalam membentuk generasi pemimpin masa depan." Katanya.
Comments