Wartawan Nabalu News
PAWE dapat peruntukkan RM50,000 setahun
22 July 2024
Oleh Wartawan Nabalu
TAWAU: Setiap Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di negara ini mendapat peruntukkan RM50,000 setahun bagi membolehkan institusi itu melaksanakan pelbag noai aktiviti dan program sesuai keperluan mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, aktiviti dan program-program yang diadakan adalah untuk menggalakkan golongan warga emas kekal sihat dan produktif.
Menurutnya, usaha itu juga selaras dengan persiapan Malaysia yang akan menuju negara menua menjelang 2030, malah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggalakkan lebih banyak PAWE ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen.
“Perdana Menteri menyatakan perkara itu semasa mengumumkan Belanjawan pada tahun lepas kerana kerajaan mahu supaya lebih ramai warga emas terlibat dengan pelbagai aktiviti untuk hidup lebih sihat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena lawatan rasminya ke premis baharu yang disewa PAWE Tawau di Taman Ria 10 Jalan Utara Baru di sini, hari ini.
Dr. Noraini berkata, matlamat penubuhan PAWE adalah untuk menggalakkan golongan emas berkumpul dan berinteraksi sesama sendiri serta menjalankan pelbagai aktiviti bersama ke arah hidup lebih gembira dan sihat.
Katanya, terdapat 164 PAWE yang aktif di seluruh Malaysia dan pihaknya berharap lebih banyak pusat seumpama itu ditubuhkan supaya lebih ramai masyarakat dapat menerima manfaatnya.
Antara aktiviti yang dijalankan di PAWE termasuklah pelbagai kelas kemahiran dan pengisian rohani serta aspek kesihatan.
Dalam lawatannya itu, beliau memuji komitmen PAWE Tawau kerana sangat aktif melaksanakan pelbagai program untuk ahli-ahlinya yang kini mencecah 276 orang, terdiri daripada 85 lelaki dan 191 wanita.
Turut hadir, Penolong Pengarah Kebajikan Am Bahagian Tawau, Nurul Fadilah Abd Hamid; Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Tawau, Sarina Musa; Penyelaras PAWE Tawau, Ramizul Ali dan Pengerusi PAWE Tawau, Chaya Sulaiman.
Comments