top of page

PBT, DBKK cari penyelesaian isu kenaikan bayaran pelesenan hotel

  • nabalunews
  • Mar 10
  • 2 min read



10 Mac 2025


KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang mencari penyelesaian terbaik bagi menangani kenaikan bayaran pelesenan hotel di Kota Kinabalu.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, ia berikutan persatuan hotel tidak berpuas hati dengan kenaikan harga baharu yang diputuskan baru-baru ini.


Katanya, beliau sudah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali untuk membincangkan mengenai isu itu.


“Saya tahu ia satu lonjakan besar, dan saya telah membawa isu itu kepada Kabinet, tetapi mereka telah memutuskan untuk mengekalkan struktur yuran berkenan.


“Minggu lepas saya juga telah menulis surat kepada persatuan hotel untuk menjelaskan keadaan, dan saya juga telah berjumpa dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu.


“Kami masih memikirkan cara untuk membantu,” katanya kepada media selepas sidang media Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah di sebuah hotel terkemuka di sini pada Ahad.


Christina berkata, kementeriannya mengakui bahawa keputusan ini sudah pasti akan memberi impak kepada industri berkenaan.


Katanya, beliau akan terus memantau keadaan dengan teliti, terutama selepas dimaklumkan bahawa beberapa hotel tiga bintang merancang untuk ditutup kerana mereka tidak mampu membayar yuran berkenaan.


"Diharap selepas enam atau lapan bulan, kita akan mengadakan mesyuarat dan membentangkan kes ini sekali lagi untuk melihat sejauh mana kesannya," katanya.


Baru-baru ini, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah/Labuan, Hafizan Wong menggesa penggubal undang-undang Kota Kinabalu untuk mempertimbangkan semula yuran pelesenan hotel baharu.


Katanya, ia dibimbangi menimbulkan ancaman teruk kepada kesinambungan perniagaan hotel sama ada penginapan bajet ataupun perniagaan bertaraf lima bintang.


“Sebelum ini, pengusaha hotel dikehendaki membayar yuran pelesenan hanya RM10 setiap bilik setahun, tetapi di bawah struktur yuran baharu, mereka kini perlu membayar kadar setiap bilik yang diduduki setiap bulan, berdasarkan kategori klasifikasi hotel DBKK iaitu kelas pertama, kedua dan ketiga.


“Dalam perspektif di bawah struktur yuran yang dikembalikan semula mengatakan sebuah hotel 100 bilik yang diklasifikasikan sebagai Hotel Kelas Kedua kini perlu membayar RM80 setiap bilik yang diduduki sebulan.


"Jika hotel itu mencapai penghunian 60 peratus atau 1,860 malam bilik sebulan, yuran pelesenan bulanan akan menjadi RM4,800 sebulan atau RM57,600 setahun; peningkatan drastik daripada yuran tahunan RM1,000 sebelum ini,” katanya.


Sementara itu, Christina berkata mesyuarat sedang berjalan mengenai cadangan untuk menyemak semula syarat-syarat pendakian Gunung Kinabalu, dengan keputusan dijangka dibuat pada bulan depan.


Ditanya sama ada syarat itu akan memberi kesan kepada pendaftaran sebelum ini sekiranya semakan dibuat, Christina berkata, beliau akan merujuk kepada kementerianya terlebih dahulu.


Terdahulu, pada 3 Mac lalu, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan langkah baharu untuk meningkatkan keselamatan pendaki Gunung Kinabalu.


Ia termasuk meletakkan sekatan umur, berikutan kematian seorang lelaki warga Britain berusia 70-an baru-baru ini semasa mendaki gunung itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page