- Wartawan Nabalu News
PDA satu kesilapan besar, Harris dan Pairin harus tampil beri penjelasan
8 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) Sabah meminta dua bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tampil memberi penjelasan mengenai Perjanjian Petronas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe berkata, ini kerana selama ini mereka tidak pernah membuat kenyataan atau memberi penjelasan mengenai perkara itu.
“Dua bekas Ketua Menteri Sabah itu telah tampil dengan kenyataan berhubung masalah pendatang asing di Sabah dan menjadi tajuk utama berita-berita di negeri ini.
“Bagaimana pula dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA)? Kedua-dua mereka (Harris dan Pairin) telah menandatangani Perjanjian Petronas yang merupakan satu kesilapan besar kerana Sabah telah kehilangan autoriti ke atas sumber minyak dan gas buat selama-lamanya.
“Kesilapan itulah yang membantutkan pembangunan di Sabah dan sehingga kini masih berhadapan dengan rangkaian jalan raya yang teruk, bekalan air dan elektrik yang bermasalah, kerencatan kemudahan kesihatan dan pendidikan serta ameniti sosial lain terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Adun PH Sabah itu berkata, selaku Ketua Menteri dan Menteri yang menandatangani Perjanjian Petronas tersebut, mereka menggesa dan mencabar kedua-dua bekas ketua menteri itu tampil memberi penjelasan mengapa mereka membuat keputusan tersebut.
“Selama ini mereka tidak pernah membuat kenyataan atau memberi penjelasan. Maka selagi itulah mereka akan diingati sebagai dua pemimpin yang telah melakukan kesilapan besar yang tidak dapat dimaafkan oleh rakyat Sabah.
“Selaku generasi baharu Wakil Rakyat Sabah, kami mahu menjadikan kesilapan itu sebagai satu ikhtibar. Semoga Kerajaan Sabah hari ini dan yang akan datang tidak mengulangi kesilapan sedemikian.
“Sebaliknya, kita harus mempertahankan hak kita yang masih ada dan terus menuntut penunaian hak kita sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Sebab itu Ewon dan Jin Zhe bersama beberapa lagi Adun dan Ahli Parlimen Sabah telah memfailkan Saman Pemula (OS) di Mahkamah Tinggi untuk menuntut pelaksanaan pemberian 40 peratus hasil persekutuan di Sabah seperti dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
Comments