top of page

PDRM rekod 541 kes culik dan melarikan orang sejak 2020 hingga Julai lalu

  • nabalunews
  • Aug 13, 2024
  • 2 min read

13 Ogos 2024


PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 541 kes culik dan melarikan orang sepanjang tempoh lima tahun sejak 2020 hingga Julai lalu, dengan angka tertinggi dicatatkan pada tahun 2023 iaitu 148 kes.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ini diikuti pada 2020 dengan 119 kes, 2021 (104 kes), 2022 (91 kes) manakala Januari sehingga Julai lalu (79 kes).


Jelas beliau kesalahan melarikan orang di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan merupakan yang tertinggi dengan 246 kes. Ini diikuti dengan kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat mengurung di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang mencatatkan 251 kes.


“Kes culik atau melarikan orang di negara ini tidak berada pada tahap yang membimbangkan. Namun begitu, pihak PDRM sentiasa memantau secara khusus jenayah melibatkan culik,” katanya lapor Utusan Malaysia.


Beliau juga menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian culik atau orang hilang kepada pihak polis untuk tindakan segera, dan menekankan agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam kes penculikan, terutamanya yang melibatkan wang tebusan.


Razarudin turut mengulas mengenai peningkatan kecil dalam kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961, yang mencatatkan 19 kes dalam tempoh kajian lima tahun tersebut. Beliau menekankan bahawa walaupun kes ini dilihat sebagai terpencil, pihak polis tetap memandang serius kerana ia melibatkan nyawa dan wang.


Kajian PDRM menunjukkan bahawa mangsa culik dan melarikan orang kebanyakannya terdiri daripada golongan dewasa berumur antara 29 hingga 34 tahun, dengan lelaki menjadi mangsa utama.


Kes-kes ini seringkali berpunca daripada perselisihan faham, keganasan domestik, atau hutang yang gagal dibayar, khususnya melibatkan warga Bangladesh dan Myanmar.


Sejak kebelakangan ini, beberapa kes culik mendapat liputan meluas media, termasuk kejadian pada 2 Ogos lalu di Skudai, Johor, di mana empat penjenayah yang disyaki terlibat dalam kes penculikan terbunuh selepas berbalas tembak dengan polis. Kumpulan itu dipercayai terlibat dalam kes penculikan dua individu yang membabitkan pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin bernilai USD1.16 juta (RM5.4 juta).


Pada 23 Julai lalu, lima individu ditahan kerana terlibat dalam kes culik seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, yang berjaya ditemukan dalam keadaan selamat di Batang Kali, Selangor.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page