top of page

Pecut kereta membongkar rahsia kenderaan curi

nabalunews

Suspek berjaya ditahan polis di kawasan Merotai.
Suspek berjaya ditahan polis di kawasan Merotai.

31 Januari 2025


TAWAU: Gelagat mencurigakan seorang lelaki yang memecut kenderaannya ketika melalui sekatan jalan di Jalan Merotai-Kalabakan, di sini, membongkar kegiatan jenayahnya.


Lelaki berusia 50-an terbabit ditahan polis selepas didapati memandu kereta yang pernah dilaporkan hilang di daerah Penampang.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dikesan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan sempena Ops Selamat Tahun Baharu Cina.


Katanya, tindakan suspek memecut kenderaan membuat pasukan SJR curiga dan terus melakukan pemeriksaan terhadap nombor pendaftarannya.


“Hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan jenis Nissan berkenaan pernah dilaporkan hilang di Penampang.


“Pasukan operasi terus mengejar suspek sebelum berjaya diberkas di kawasan Merotai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif dan cuba melawan namun kecekapan anggota polis berjaya menahannya.


Katanya, suspek dan kenderaannya terus dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page