Pegumuman khas PM bukti kepekaan kerajaan terhadap rakyat – Fahmi
- nabalunews
- Jul 23
- 1 min read

23 Julai 2025
KOTA KINABALU: Pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini membuktikan kepekaan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat, serta komitmen untuk meringankan beban melalui pelbagai bentuk bantuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan yang diumumkan itu bukan sahaja memberikan kelegaan kepada rakyat, malah berupaya memacu kestabilan ekonomi negara.
Katanya, langkah yang diambil adalah hasil pertimbangan teliti yang berlandaskan prinsip keadilan sosial dan kemampanan ekonomi.
“Pendekatan ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Pada masa yang sama, katanya Kerajaan MADANI akan terus berusaha menyeimbangi keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan juga akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap demi manfaat rakyat secara menyeluruh.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menyemarakkan semangat cintakan tanah air menjelang sambutan kemerdekaan hujung bulan depan.
“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan beberapa inisiatif sebagai penghargaan untuk rakyat, antaranya pemberian RM100 secara one-off kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penurunan harga subsidi petrol RON95 kepada RM1.99 seliter.


















Comments