Pejabat ADUN Kadamaian tinjau keperluan komuniti Kg Lingkubang
5 November 2024
KOTA BELUD: Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, baru-baru ini telah membuat tinjauan di Kampung Lingkubang, Kota Belud, susulan aduan berkenaan kerosakan jalan akibat aliran anak sungai yang menyebabkan hakisan yang menimbulkan risiko keselamatan kepada kenderaan yang melalui kawasan tersebut.
Selain jalan yang terhakis, Carlye turut meninjau keadaan jambatan gantung lama yang kini mengalami kerosakan.
Jambatan tersebut merupakan laluan utama bagi para pekebun dan komuniti setempat, dan memerlukan pembaikan segera untuk menjamin keselamatan pengguna.
Dalam tinjauan tersebut, Carlye ditemani oleh Ailing Yakim, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lingkubang.
Menurut Ailing, jambatan gantung utama yang digunakan oleh para pekebun dan komuniti setempat kini memerlukan pembinaan baru bagi memastikan keselamatan pengguna.
Selain itu, jalan yang telah terhakis juga memerlukan pemasangan pembetung (culvert) untuk mengalirkan air kerana ia adalah laluan penting untuk aktiviti pertanian dan akses utama ke kampung.
Carlye turut memaklumkan bahawa isu ini akan dibawa ke perhatian Datuk Ewon Benedick, ADUN Kadamaian, untuk tindakan lanjut semasa mesyuarat bersama Pejabat ADUN Kadamaian dan Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian.
Comments